Sabtu, 12 Julai 2008

ASAL USUL MELAYU

Asal usul Melayu terus dikaji
Oleh Mohd Azis Ngah













Pulau Kalumpang dipercayai penempatan pertama manusia prasejarah



MENELUSURI asal usul keturunan Melayu di Nusantara amat menarik tetapi sehingga kini belum ada ketetapan muktamad kerana terlalu banyak teori dan hujah.

Merujuk kepada perlembagaan, orang Melayu adalah seorang Muslim, bertutur Bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Ini bermakna sesiapa saja tanpa kira asal usul bangsanya boleh bergelar Melayu jika memiliki ciri-ciri di atas.

Namun, definisi Melayu di alam Melayu ditakrif sebagai mereka yang mendiami alam Melayu dan bertutur bahasa Austronesia/Melayu-Polinesia.

Pengkaji sejarah, ahli arkeologi, pakar bahasa sentiasa mencari bukti kukuh melalui pelbagai kajian sekali gus menyemarakkan usaha mengesan asal usul Melayu.

Wartawan Berita Minggu berpeluang mengikuti satu kajian lapangan oleh pakar arkeologi, Prof Datuk Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman yang kini mengkaji penemuan tapak arkeologi pra sejarah pertama di dunia yang dihuni manusia di kawasan bakau di Pulau Kalumpang, Perak.
DR NIK Hassan bersama kumpulan pengkaji melakukan kerja cari gali artifak di Pulau Kelumpang.

Memang banyak negara yang mempunyai kawasan bakau seperti India, Kemboja dan Afrika tetapi hanya di Malaysia dikesan mempunyai kesan peninggalan penempatan manusia prasejarah.

Kerja mencari gali dimulakan pada 1987 selama dua tahun dan dihentikan sebelum dimulakan semula sejak Mei lalu. Hasil kajian pertama, Prof Nik Hassan menemui 11 rangka manusia prasejarah dipercayai dikebumikan di tanah perkuburan di situ.

Manusia prasejarah itu dikatakan menanam mayat di bawah rumah mereka kerana pengkaji menemui tinggalan sisa makanan, tulang manusia, gigi yang dipercayai manusia yang hidup di abad kedua Sebelum Masihi hingga 10 Masihi.

"Kajian ini lebih menjurus kepada mengesan siapa yang sebenarnya tinggal di situ. Kami percaya penempatan ini didiami sekumpulan manusia keturunan Melayu yang hidup di pesisir pantai. Mungkin juga mereka keturunan India, Sumatera atau Orang Laut.

"Mereka lebih terbuka kepada hubungan luar berbanding Melayu yang tinggal di pedalaman. Bukti gigi dengan kesan makanan sirih dan pinang menguatkan hujah kemungkinan mereka orang Melayu dan penemuan serpihan tembikar, manik menunjukkan mereka berhubung dengan dunia luar," katanya.

Menariknya, Pulau Kalumpang yang jaraknya kira-kira 45 minit perjalanan menaiki bot dari jeti Kuala Gula, mempunyai tujuh kawasan penempatan yang mempunyai keluasan dua kilometer. Pulau itu juga mempunyai banyak pokok buluh yang sememangnya diakui tidak akan tumbuh di kawasan bakau.

Pokok buluh itu hidup subur dipercayai ditanam dengan tujuan pelbagai guna untuk membuat rumah, senjata dan alat menangkap ikan. Selain itu, penemuan kerang pelbagai jenis menunjukkan penduduk di situ sememangnya menjadikan hasil laut sebagai makanan utama.

Penduduk tempatan menggelar pulau itu sebagai Pulau Kota Kerang, ada yang memanggilnya Pulau Buluh.

"Berdasarkan penemuan di pelbagai peringkat lapisan tanah, jelas menunjukkan diet makanan mereka juga berubah mengikut zaman. Kami menemui tulang ikan, monyet, burung, kepala babi dan beruk, mereka makan apa saja tetapi pada masa itu, rasanya mereka tidak beragama.

"Persoalannya ialah bagaimana mereka hilang atau berpindah, kami tidak pasti dan sedang mengkaji," katanya.

Ketika ini, Prof Nik Hassan dan pasukannya sudah menemui 50 jenis kerang pelbagai saiz yang jelas membezakan perubahan makanan penduduk di situ. Cara hidup mereka boleh dinilai berdasarkan sisa makanan yang ditemui.

Apa yang pasti, pasukannya gigih menjalankan kajian sama ada penempatan di situ mempunyai kaitan langsung dengan orang Melayu yang tinggal berhampiran di Kuala Sepetang, Kuala Gula atau Kuala Kurau dan ia perlu dipastikan melalui ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).

Info: Tapak Arkeologi Pulau Kalumpang

Pulau Kelumpang

# Mempunyai tujuh kawasan (Pulau Satu hingga Pulau Tujuh) seluas dua kilometer

# Pulau Satu hingga Pulau Lima adalah kawasan utama kajian

# Pulau Enam dan Pulau Tujuh terletak berdepan Pulau Selinsing

# Tapak itu diwartakan sebagai Kawasan Hutan Bernilai Pemeliharaan Tinggi sebagai perkuburan prasejarah pada 15 Julai 2007.

# Pemetaan dan sukatan geografi mula dijalankan di situ pada tahun 1988

Tiada ulasan:

Catat Ulasan