Rabu, 10 Oktober 2007

AJAIB SUNGGUH....

Misi angkasawan hasil Islam Hadhari
Dr Mohd Radzi Abdul Latif

ROSKOSMOS, sebuah Agensi Aeroangkasa Persekutuan Russia kini telah mentauliahkan Dr Sheik Muszaphar Sheikh Mustapha dan Kapten Dr Faiz Khaleed dengan rasminya sebagaicosmonaut atau angkasawan. Dengan itu terciptalah satu lagi sejarah pencapaian ulung rakyat Malaysia.

Sejarah adalah salah satu cara membuktikan tamadun sesuatu bangsa. Apa yang akan dilakukan oleh angkasawan negara ini adalah bukti bahawa masyarakat di sesebuah negara mempunyai peranan dalam mencorakkan jenama positif untuk bangsa dan negaranya. Mereka menjadi simbol menggerakkan keupayaan bangsanya memartabatkan negara dan bangsanya untuk mendapat tempat dalam ketamadunan sains dan teknologi di persada global.

Sesuai dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, selayaknya usaha gigih insan Muslim seperti Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz dijadikan asas rujukan untuk mengemudi arus pembinaan modal insan yang berpersonaliti unggul dan menepati ciri-ciri insan glokal.

Selaras dengan aspirasi menzahirkan pencapaian insan unggul agar selari dengan pendekatan Islam Hadhari, ulama juga mengikuti perkembangan semasa dengan menyediakan panduan berpuasa, mencari arah kiblat , beristinjak , berwuduk dan bersolat di angkasa lepas. Jelas kita mahukan pencapaian angkasawan ini bukan saja pada tahap cemerlang, gemilang dan terbilang malah yang lebih penting menerima keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Perkembangan ini menunjukkan betapa penghayatan Islam Hadhari menjadi begitu penting sebagai satu pendekatan pembangunan manusia, masyarakat dan negara yang bersifat menyeluruh serta berdasarkan pada perspektif tamadun Islam. Pendekatan ini penting kerana ia adalah asas anjakan paradigma untuk masyarakat khususnya umat Islam memahami Islam secara menyeluruh, bukannya secara juz'ie atau terpisah-pisah.

Pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha menyediakan masyarakat menikmati kehidupan berkualiti, mempunyai peradaban yang unggul serta bertamadun. Usaha ini hanya berjaya direalisasikan sekiranya tumpuan turut diberi segi pembinaan jati diri dan pemerkasaan pemikiran di kalangan anggota masyarakat.

Sesungguhnya masyarakat yang perkasa dari segi jati diri dan pemikirannya secara tidak langsung memiliki daya tahan, daya saing dan daya maju yang utuh serta berupaya menangani apa juga bentuk cabaran sehingga berjaya ”duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan bangsa-bangsa maju di dunia.

Pendekatan Islam Hadhari bermatlamatkan melahirkan individu dan masyarakat Islam seimbang demi mencapai kekuatan rohani, akhlak terpuji, daya intelektual yang tinggi, gah berdikari dan berdaya saing, berpandangan jauh, berfikiran kreatif dan inovatif serta menangani setiap cabaran dengan penuh hikmah dan berkesan.

Ia bertepatan dengan prinsip pendekatan Islam Hadhari sebagai kerangka rujukan dan tindakan untuk anggota masyarakat khususnya umat Islam di Malaysia berusaha menggerakkan potensi dan keupayaan yang mereka miliki bagi menjadikannya sebuah realiti.

Sepuluh prinsip pendekatan Islam Hadhari ialah keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi; kerajaan adil dan beramanah; rakyat berjiwa merdeka; penguasaan ilmu pengetahuan; pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif; kehidupan berkualiti; pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita; keutuhan budaya dan moral; pemuliharaan alam semula jadi dan kekuatan pertahanan. Personaliti unggul atau Towering Personality adalah gagasan yang diketengahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Penekanan pada pewujudan personaliti unggul ini amat bertepatan dengan usaha ke arah melahirkan modal insan berkualiti. Modal insan berkualiti pula haruslah mempunyai ciri-ciri personaliti unggul yang antara lainnya merujuk pada manusia yang berhemah dan berpengetahuan tinggi di mana pencapaian ketokohannya adalah tinggi natijah dari ketinggian nilai intelektualnya.

Bangsa maju di dunia dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat sejagat. Bangsa atau negara berkenaan mencapai kemajuan yang tinggi kerana memiliki ketinggian segi ilmu, pemikiran dan daya intelektual. Hal ini menunjukkan bahawa fitrah manusia lebih cenderung pada menjadikan ilmu atau daya intelektual sebagai kayu ukur yang melayakkan sesebuah negara atau bangsa itu dihormati dan bukannya berdasarkan pengaruh atau kuasa.

Namun begitu, personaliti unggul yang tidak hanya menjurus pada kekuatan segi ilmu atau daya intelektual semata-mata sebaliknya turut menekankan kepentingan keperibadian serta sahsiah yang tinggi secocok dengan nilai peradaban sesebuah masyarakat bertamadun. Antara ciri individu berpersonaliti unggul ialah:

l Mempunyai iltizam serta wawasan jelas dan tepat bagi menyumbang ke arah mencipta kecemerlangan agama, bangsa dan negara

l Mengutamakan pegangan akidah, moral dan etika dalam kehidupan

l Memiliki jiwa perintis dan cenderung segi penggalian dan penerokaan ilmu yang mempunyai nilai tambah serta memberi manfaat kepada manusia

l Mempunyai daya pemikiran yang kreatif, kritikal, konstruktif dan strategik yang membantu segi penjangkaan dan penyelesaian masalah, membuat keputusan serta bijak segi perancangan

l Mementingkan hasil kerja atau sumbangan yang berkualiti

l Mempunyai daya kepemimpinan yang tinggi, dan

l Memiliki daya tahan, daya saing dan daya maju yang tinggi

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula mengetengahkan gagasan Melayu Glokal sebagai aspirasi bagi menjana umat Melayu yang berakar nasional dan berminda global. Aspirasi ini juga bertujuan merangsang umat Melayu memperkasakan jati diri dengan berperisaikan ajaran Islam dan budaya Melayu, menghargai potensi dan kelebihan yang dimiliki serta yakin dan berani memainkan peranan, bersaing dan mendahului di persada antarabangsa.

Konsep Melayu Glokal juga menyuntik semangat baru di kalangan umat Melayu untuk keluar dari zon selesa dan kepompong pemikiran lama yang merugikan. Gagasan Melayu Glokal diketengahkan supaya umat Melayu berani melakukan perubahan, mendahului perubahan dan bijak mengurus perubahan. Selari dengan semangat ‘glokal’, maka strategi untuk menterjemahkan aspirasi konsep Melayu Glokal turut mempertimbangkan aspek penghayatan agama, ilmu, ekonomi, budaya serta politik dan perjuangan di kalangan umat Melayu.

Kemampuan untuk menguasai aspek-aspek berkenaan dapat menjamin survivalisme umat Melayu di peta dunia. Antara lain strategi membentuk Melayu Glokal ini ialah dengan menjana Melayu Glokal melalui ilmu dan pendidikan, menjana ekonomi untuk pembangunan Melayu Glokal, Melayu Glokal berpaksikan penghayatan agama, memperkuatkan jati diri Melayu Glokal melalui transformasi budaya dan memperkasakan politik Melayu Glokal berteraskan idealisme perjuangan.

Berdasarkan huraian mengenai gagasan pendekatan Islam Hadhari, Personaliti Unggul dan Melayu Glokal, jelas menunjukkan bahawa intipatinya cukup berhubung rapat dengan nilai-nilai yang dianjurkan Islam. Umat Melayu harus memahami bahawa dengan menyuburkan prinsip-prinsip pendekatan Islam Hadhari, memangkinkan pembinaan Personaliti Unggul dan menjana Melayu Glokal memberi ruang kepada mereka untuk memelihara hubungan yang bersifat vertikal iaitu dengan al-Khaliq serta hubungan yang bersifat horizontal iaitu hubungan sesama manusia dan alam persekitaran.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT, bermaksud; "Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk (faedah) manusia, kamu mengajak kepada kebajikan dan kamu mencegah daripada kemungkaran serta kamu beriman kepada Allah....." (Surah 'Ali-'Imraan; 3:110)

Individu yang mampu menterjemahkan nilai-nilai Islam menetapkan standard yang boleh menjadikannya terbaik. Standard itu bukan saja bergantung pada penilaian manusia sebaliknya penilaian yang diberi Allah SWT. Nilai ini adalah satu penetapan standard yang menerbitkan kewaspadaan dalam diri seseorang dan sikap berwaspada boleh membentuk seseorang bukan saja menjadi terbaik tetapi juga terunggul.

Justeru, sudah sampai masanya umat Melayu menanam iltizam untuk lahir sebagai umat terunggul sehingga berjaya diiktiraf sebagai umat mithali di mata dunia.





Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif adalah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM)
P/S
BERITA INI DIPETIK DARI AKHBAR BERITA HARIAN.Nilaila sendiri kenyataan ini samada ada asasnye atau tidak

Rabu, 27 Jun 2007

PERANG NUKLEAR ZAMAN KUNO

DUA epik India kuno, Mahabaharata dan Ramayana yang dipercayai ditulis kira-kira 3,500 tahun lalu, menceritakan tercetusnya satu kejadian besar pada zaman purba yang benar-benar membuatkan pembaca khususnya penyelidik terpaku kebingungan.

Meneliti baris demi baris dalam cerita panjang yang ditulis pada dua epik berbahasa Sanskrit itu membuatkan penyelidik tertanya-tanya akan kebenarannya dan sehingga kini peristiwa yang terkandung dalam setiap ayat yang tertera pada epik itu masih kekal misteri.

Benarkah perang nuklear sudah tercetus pada zaman India kuno, ribuan tahun lalu? Persoalan itu mendorong kalangan penyelidik untuk mencari logik di sebalik cerita yang ditulis menerusi epik berkenaan.

Malah, tatkala meneliti ayat yang menyatakan peperangan itu turut membabitkan pesawat canggih dan digambarkan seperti jet pejuang dan piring terbang pada masa kini, penyelidik semakin terpinga-pinga kehairanan.

Epik terbabit ditulis kira-kira 3,500 tahun lalu atau pada 1,500 Sebelum Masihi (SM) tetapi peristiwa peperangan yang tercatat di dalamnya dikatakan berlaku lebih lama iaitu 5,000 tahun lalu.

Mengikut logik akal, keadaan di bumi ketika itu masih terlalu kuno serta jauh daripada perkembangan sains dan teknologi. Pesawat dan jet pejuang yang mampu menembak misil masih belum dicipta ketika itu, apatah lagi teknologi bom nuklear.

Sekiranya berlaku peperangan ketika itu, ia seharusnya membabitkan senjata tradisional seperti pedang, tombak dan panah saja.

Paling dahsyat pun peperangan itu, ia akan kelihatan seperti filem ‘300’ yang mengisahkan peperangan pahlawan Sparta menentang Parsi tetapi era Sparta wujud sekitar 500 SM sedangkan peperangan India Kuno itu dikatakan berlaku lebih lama iaitu lebih 3,500 SM.

Begitulah gambarannya mengikut logik akal tetapi penulis epik terbabit menggambarkan seolah-olah peperangan India kuno yang berlaku itu membabitkan senjata nuklear malah serangan turut membabitkan pesawat yang mampu menembak peluru berpandu.

Lebih membingungkan penyelidik, penulis terbabit menggambarkan keadaan itu bagaikan dia melihat sendiri kewujudan kapal terbang terbabit serta mengalami sendiri betapa dahsyatnya kesan letupan bom paling bahaya itu.

Epik Mahabharata dan Ramayana mengisahkan konflik yang tercetus antara dua sepupu iaitu Kurawa dan Pandawa yang hidup di tepi Sungai Gangga. Perjalanan epik itu juga turut menceritakan dua peperangan hebat yang berlaku antara kerajaan Alengka dan Astina, ketika itu.

Perang kali pertama dicatatkan seperti berikut (terjemahan): “Bahawa Arjuna yang gagah berani, duduk dalam Vimana (kenderaan udara mirip pesawat) dan mendarat di tengah air, lalu meluncurkan Gendewa (mungkin tembakan atau peluru berpandu) yang dapat menimbulkan sekali gus melepaskan nyala api yang kuat ke atas wilayah musuh. Seperti hujan lebat yang kencang, mengepung musuh dengan kekuatannya yang sangat dahsyat.

“Dalam sekelip mata, sebuah bayangan yang tebal dengan cepat terbentuk di atas wilayah Pandawa; angkasa menjadi gelap gelita, semua kompas yang ada dalam kegelapan menjadi tidak berfungsi, kemudian badai angin yang dahsyat mula bertiup disertai dengan debu pasir, burung bercicit panik, seolah-olah langit runtuh, bumi merekah.

“Matahari bergoyang di angkasa, panas membara mengerikan yang dilepaskan senjata ini membuat bumi bergoncang, gunung bergoyang, di kawasan darat yang luas, binatang mati terbakar dan berubah bentuk, air sungai kering kontang; ikan, udang dan lainnya semuanya mati.

“Saat Gendewa meledak, suaranya bagaikan halilintar, membuat askar musuh terbakar bagaikan batang pohon yang terbakar hangus.”

Gambaran pada perang kali kedua lebih memeningkan penyelidik lebih-lebih lagi menerusi terjemahan berikut: “Pasukan Alengka menaiki kenderaan yang cepat, meluncurkan sebuah rudal (mungkin sejenis peluru berpandu) yang ditujukan ke kota pihak musuh. Rudal ini seperti mempunyai segenap kekuatan alam semesta, terangnya seperti terang puluhan matahari, kembang api bertebaran naik ke angkasa, sangat indah.

“Mayat terbakar sehingga tidak mampu dibezakan. Bulu rambut dan kuku terbakar menggelupas, perkakas tanah liat retak, burung yang terbang terbakar oleh suhu tinggi. Demi untuk menghindari kematian, askar terjun ke sungai membersihkan diri dan senjatanya.”

Selesai membaca dan mengkaji epik berkenaan, penyelidik mula menjelajahi bumi India bagi mencari kepastian terhadap cerita yang tertulis itu. Mereka mula menyusuri sepanjang Sungai Gangga bagi mencari kemungkinan adanya tinggalan arkeologi peperangan itu.

Hasilnya amat memeranjatkan penyelidik. Ekspedisi itu menemukan ahli arkeologi dengan banyak kesan runtuhan yang memiliki kesan hangus terbakar di hulu Sungai Gangga. Batu besar pada runtuhan itu terlekat menjadi satu, permukaannya pula menonjol, cengkung dan tidak rata.

Kajian saintifik mendapati proses untuk meleburkan batuan berkenaan memerlukan suhu tinggi melebihi 1,800 darjah Celsius. Dengan kata lain, bara api biasa tidak mampu mencapai suhu setinggi itu dan hanya ledakan nuklear saja mampu mencapai suhu demikian.

Di dalam hutan primitif di pedalaman India pula, penyelidik menemui lebih banyak runtuhan batu hangus. Tembok kota yang runtuh serta tinggalan yang ditemui menjadi seakan kristal dan kaca.

Dalam kebingungan diselubungi enigma, penyelidik berpendapat yang mungkin pada lebih 5,000 tahun lalu sudah wujud suatu peradaban di India yang terlalu futuristik dan maju sehingga mampu membina pesawat perang dan senjata nuklear.

Akan tetapi atas sebab tertentu atau mungkin juga akibat perang nuklear terbabit, peradaban maju India kuno itu lenyap bersama teknologi dan rahsia sains yang dikuasai mereka, sehingga manusia mula menyangka yang dunia purba adalah mundur dan primitif.

INFO:
Peperangan India kuno

# Dikatakan membabitkan bom atom, nuklear, pesawat dan senjata laser.

# Gambaran teknologi yang wujud pada zaman India kuno itu hampir menyerupai gambaran kemajuan sains dan teknologi yang dicapai Atlantis, yang diceritakan ahli falsafah Greek iaitu Plato dalam teks ‘Timaeus and Critias’.

# Ada pihak percaya Kerajaan India kuno itu berperang dengan Atlantis.

# Di kota kuno India, Scotland, Perancis, Turki dan beberapa tempat lain, ditemui batu-bata dan batuan yang berubah bentuk dan ia hanya mungkin berlaku akibat suhu tinggi hasil ledakan bom atom atau nuklear. Selain India, kesan peperangan menggunakan senjata nuklear itu turut dijumpai di Babilon kuno, gurun Sahara di Afrika dan guru Gobi di Mongolia.

# Reaktor nuklear berusia dua juta tahun pernah dijumpai di Oklo, Afrika Selatan.

# Di kota besar Rishi di Mohenjodaro (Pakistan), ahli arkeologi pada akhir abad lalu pernah menemui kerangka yang bergelimpangan di jalan, ada yang berpegangan tangan seolah-olah mereka dilanda malapetaka yang amat dahsyat secara tiba-tiba. Pada kerangka itu ada kesan sisa radioaktif yang tinggi, sama dengan yang dijumpai di Hiroshima dan Nagasaki.

# Ada kajian mendapati pesawat yang digunakan pada peperangan itu berbentuk piring terbang dan ia dikaitkan dengan penemuan UFO pada masa kini.
DIMENSI BH

Sabtu, 23 Jun 2007

merdekaaa....!

TATKALA kita dilaungkan yang Malaysia kini sudah 50 tahun mencapai kemerdekaan, kita seolah-olah lupa yang negara sebenarnya dijajah selama 446 tahun.

Nyata usia kemerdekaan negara masih terlalu ‘muda’ berbanding tempoh tanah watan kita dijajah.

Antara penjajah pertama yang menduduki bumi bertuah milik kita ialah Portugis apabila mereka menjajah Melaka pada 1511 dan mendudukinya selama 130 tahun.

Bermula daripada Portugis, tanah air kita dijajah pula oleh Belanda, British dan Jepun sebelum ia diserah kembali untuk ditadbir anak watan sebagai sebuah negara merdeka pada 31 Ogos 1957.

Sejarah panjang penjajahan negara ini bermula dengan berlabuhnya angkatan laut Portugis yang digelar ‘Benggali Putih’ di Melaka pada 1509. Diketuai Lopez de Sequeira, angkatan laut Portugis dihantar Raja Portugal kononnya untuk menjalinkan hubungan persahabatan antara Kerajaan Portugal dan Kerajaan Melaka.

Bagaimanapun, terdapat niat lain di sebalik jalinan hubungan ditawarkan Portugis. Berbekalkan slogan ‘Gospel, Gold and Glory’ (Injil, Emas dan Kemasyhuran), mereka mula belayar ke Timur seawal abad ke-15.

Kedatangan Portugis ke Timur dikaitkan dengan keinginan mereka meneruskan Perang Salib; mereka ingin menghancurkan Kerajaan Islam di Timur termasuklah Kerajaan Melaka yang terkenal sebagai Pusat Pengembangan Islam di Nusantara seterusnya menyebarkan ajaran Kristian.

Selain itu, pelayaran mereka ke Timur juga bertujuan mengaut kekayaan menerusi perdagangan rempah seperti lada hitam, kayu manis, bunga cengkih dan buah pala.

Sebelum itu, perdagangan rempah dimonopoli pedagang Islam yang mendapatkan bekalan di Melaka sebelum menjual pada harga tinggi di Eropah. Portugis berpendapat jika mereka berjaya menguasai Selat Melaka, mereka akan berjaya mengambil alih kekayaan itu daripada pedagang Islam.

Berikutan itu, dengan bermanis muka, Lopez de Sequeira masuk menghadap Sultan Melaka ketika itu, Sultan Mahmud Shah dan bagai menanam tebu di tepi bibir, lelaki Portugis terbabit mula menaburkan janji manis mengenai kebaikan jalinan hubungan antara kedua-dua kerajaan.

Tanpa menyedari niat serong di sebalik kata-kata Lopez de Sequeira, Sultan Mahmud Shah menyambut baik hasrat Portugis malah membenarkan mereka berniaga di Melaka. Baginda juga memberi jaminan keselamatan sepanjang Portugis berniaga di situ.

Bagaimanapun, hasrat Portugis untuk menguasai perdagangan dan menentang Islam diketahui pedagang Islam dari Jawa dan Gujerat lalu mereka segera memaklumkan muslihat bangsa asing itu kepada Bendahara Tun Mutahir.

Bendahara Tun Mutahir pantas menyampaikan berita itu kepada Sultan dan menasihati baginda supaya menangkap orang Portugis termasuk pegawai kanan mereka, Ruy de Araujo.

Lopez de Sequeira yang ketakutan kerana menyedari tembelang mereka sudah pecah, bertindak melarikan diri ke pangkalan mereka di Goa, India sekali gus meninggalkan beberapa anak kapalnya ditangkap dan dibunuh tentera Melaka.

Tindak balas Melaka itu segera disampaikan kepada Raja Portugal dan pada 1510, satu angkatan laut diketuai Alfonso de Albuquerque dihantar untuk menyerang Kerajaan Melayu itu.

Sebaik tiba, Alfonso de Albuquerque menghantar utusan menuntut askar Portugis yang ditawan segera dibebaskan dan Melaka perlu membayar ganti rugi kepada mereka. Wizurai Portugis itu juga meminta untuk mendirikan kubu di Melaka tetapi semua tuntutan itu ditolak dengan beraninya oleh Sultan Mahmud Shah.

Melihat tuntutannya tidak dilayan, ledakan meriam daripada kapal perang Portugis dilepaskan pada 25 Julai 1511 seterusnya bermulalah serangan pertama Portugis terhadap Melaka.

Soldadu perang Portugis segera mendarat di pantai Melaka dan peperangan hebat terus berlaku. Suatu ketika, askar Portugis berjaya menguasai jambatan Sungai Melaka tetapi pahlawan tempatan segera bangkit menentang.

Serangan balas diketuai Sultan Ahmad Shah menyebabkan angkatan Portugis terpaksa berundur.

Portugis kembali menyusun strategi dan melancarkan serangan kedua pada 10 Ogos 1511. Pertempuran hebat meletus lagi di bumi Melaka dan selepas dua minggu bertempur, akhirnya Alfonso de Albuquerque berjaya menawan dan menjajah Melaka.

Sultan Ahmad Shah dan ayahandanya, Sultan Mahmud Shah; pembesar, kerabat diraja serta beberapa rakyat terpaksa berundur ke Muar. Dari Muar, mereka berundur ke Pahang seterusnya Bentan.

Di Bentan, Sultan Mahmud Shah mendirikan kerajaan baru selepas kemangkatan anakandanya, Sultan Ahmad Shah. Selepas penawanan Melaka, Sultan Mahmud Shah beberapa kali cuba merampas kembali negaranya daripada Portugis tetapi gagal.

Seterusnya pada 1511 kekal dalam ingatan kebanyakan kita - ia adalah tahun di mana Melaka yang menjadi simbol kegemilangan Kerajaan Melayu di Tanah Melayu atau mungkin mewakili tanah air kita, buat pertama kalinya dijajah bangsa asing.

Kelemahan pemerintahan Melaka punca dijajah

PENJAJAHAN Melaka oleh Portugis pada 1511 turut berpunca daripada beberapa kelemahan negara itu sendiri.

Melaka yang dibuka pada 1400 oleh Parameswara atau Sultan Iskandar Shah mencapai kemuncak kegemilangannya sebagai sebuah kerajaan dan pusat perdagangan di zaman pemerintahan Sultan Mansor Shah iaitu dari 1458 hingga 1477.

Bagaimanapun, selepas kemangkatan Sultan Mansor Shah, zaman kegemilangan Melaka semakin menurun. Sultan Alauddin Riayat Shah yang menggantikan baginda, mati diracun pada 1488 seterusnya diganti Sultan Mahmud Shah.

Di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah, beberapa masalah dalaman timbul dalam Kerajaan Melaka antaranya kelemahan pentadbiran, masalah perpaduan, kelemahan ketenteraan sehingga akhirnya, kedatangan dan serangan Portugis menyebabkan Melaka akhirnya dijajah.

Kelemahan dalam pentadbiran kerajaan berlaku apabila Bendahara Tun Perak meninggal dunia pada 1498 dan jawatannya diganti Bendahara Tun Mutahir yang bersikap pilih kasih sehingga mencetuskan iri hati di kalangan pembesar lain.

Sikap pilih kasih itu juga menyebabkan Tun Mutahir difitnah yang beliau cuba mengatasi kekayaan Sultan menyebabkan Sultan Mahmud Shah amat murka. Tanpa usul periksa, baginda menjatuhkan hukuman bunuh kepada Tun Mutahir dan keluarganya.

Selepas kematian Tun Mutahir, barulah Sultan Mahmud Shah menyedari kesilapannya. Dalam kekesalahn, baginda menyerahkan tampuk kepimpinan kepada anakandanya, Sultan Ahmad Shah tetapi pengganti baginda adalah seorang pemerintah yang tidak cekap dan lemah.

Pengganti Bendahara Tun Mutahir iaitu Tun Pepatih Putih adalah seorang yang uzur menyebabkan kewibawaan pentadbiran Melaka menjadi semakin lemah. Masalah dalaman semakin menjadi-jadi dengan amalan rasuah dan fitnah berleluasa.

Cukai kepada pedagang pula semakin tinggi menyebabkan pedagang mula beralih untuk berniaga di pelabuhan lain yang mengenakan cukai lebih rendah seperti Acheh, Bantam, Patani dan Brunei.

Masalah perpaduan di kalangan penduduk Melaka timbul apabila Tun Mutahir dilantik sebagai bendahara menggantikan Tun Perak. Pelantikan Tun Mutahir menimbulkan persaingan antara Orang Melayu dengan India-Muslim dan kemuncak masalah adalah pembunuhan Tun Mutahir akibat fitnah.

Kesan masalah itu turut merebak kepada rakyat jelata di mana masyarakat Melaka semakin berpecah-belah dan tidak bersatu padu. Keadaan itu turut menjejaskan perdagangan di Melaka.

Kelemahan askar Melaka yang hanya menggunakan senjata tradisional seperti keris, panah, sumpit beracun, perisai dan tombak turut menjadi punca kekalahan dan penjajahan Melaka oleh Portugis.

Walaupun ada antara tentera Melaka menggunakan senapang dan meriam, senjata api milik Portugis ternyata lebih hebat malah meriam mereka mampu menembak ke sasaran yang lebih jauh.

Struktur dan strategi ketenteraan Portugis juga nyata lebih lengkap dan terlatih berbanding tentera Melaka. Portugis mendapat sokongan dari pangkalan tentera mereka di Goa semasa melancarkan peperangan sebaliknya askar upahan Melaka dari Jawa bertindak melarikan diri semasa serangan Portugis.

Semua kelemahan itu menyebabkan Melaka akhirnya berjaya dijajah Portugis dan seharusnya ia menjadi iktibar kepada kita pada hari ini, semoga sempena kemerdekaan negara yang ke-50, sejarah hitam penjajahan itu tidak akan berulang.

FAKTA:
Pemerintahan Portugis

# 1511: Alfonso de Albuquerque tiba di Melaka pada 10 Ogos dan membuat permintaan membina kubu Portugis di Melaka tetapi permintaannya ditolak Sultan. Selepas 10 hari mengepung, Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada 24 Ogos dan membina A Famosa dalam tempoh enam bulan. Dengan tewasnya Sultan Mahmud Shah, Portugis memerintah Melaka selama 130 tahun.

# 1513: Patih Unus dari Jawa, seorang pahlawan Jawa yang menjadi Sultan Demak di Sumatera menyerang Kerajaan Portugis di Melaka.

# 1518-1519: Sultan Mahmud Shah mengerah rakyatnya membina tembok tinggi mengelilingi Melaka dalam masa tiga bulan dalam usaha menawan kembali negara itu.

# 1521: Gereja St Paul dibina Kapten Portugis, Duarte Coelho dan dinamakan ‘Our Lady of The Hill’, tetapi kemudian ditukar Belanda kepada tempat persemadian bangsawan dan dinamakan Gereja St Paul.

# 1523: Sultan Mahmud gagal sekali lagi dalam penawanan Melaka.

# 1525: Laksamana Hang Nadim mengepung Kota A Famosa. Portugis membuat catuan makanan dari Goa.

# 1526: Seangkatan kapal besar di bawah Pedro Mascarenhaas dihantar Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan yang melindungi Sultan Mahmud Shah. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka ke Kampar, Sumatera.

# 1528: Sultan Mahmud Shah mangkat di Kampar, Sumatera.

# 1537: Acheh menyerang Portugis di Melaka pada kali pertama.

# 1545: Buat pertama kalinya, Fr Francis Xavier tiba di Melaka. Pada keseluruhannya, beliau membuat lima lawatan ke Melaka kerana hendak menjadikan Melaka sebagai pusat operasinya di Timur.

# 1548: Kolej St Paul, sekolah pertama di Melaka, dibina St Francis Xavier untuk orang Katolik Portugis dan orang tempatan yang murtad memeluk Kristian.

# 1551: Gabungan Johor, Japara dan Perak menawan Melaka dan mengepungnya selama tiga bulan.

# 1568: Johor membantu Portugis Melaka mematahkan serangan Acheh. Acheh mengawal Selat Melaka selama 60 tahun.

# 1582: Portugis membantu Johor daripada serangan Acheh dan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah menjadi Sultan Johor pertama yang melawat Melaka.

# 1587: Johor menyerang Portugis secara besar-besaran melalui serangan darat dan laut tetapi gagal.

# 1597: Belanda membuat serangan pertama ke atas Kota Portugis Melaka.

# 1606: Belanda di bawah Laksamana Matelieff de Jonge bekerjasama dengan Sultan Johor untuk menguasai Melaka. Percubaan selama tiga bulan gagal apabila Portugis mendapat bantuan dari Goa.

# 1615-1616: Acheh menyerang Melaka.

# 1628-1629: Acheh memerintah Melaka selama lapan bulan sebelum Portugis kembali mengambil Melaka.

# 1636: Kapal Belanda memusnahkan kapal Portugis di pelabuhan.

# 1641: Belanda menewaskan Portugis pada 14 Januari dan menakluk Melaka dengan bantuan Sultan Johor.
DIMENSI BH

Ahad, 17 Jun 2007

ULUL ALBAB

BERAPA banyakkah Rasulullah SAW menjelaskan maksud al-Quran kepada sahabat Baginda? Adakah Baginda menjelaskan semuanya seperti mana Baginda menyampaikan semua ayat itu atau hanya sebahagian kecil dan tidak menyeluruh?

Jawapan pada pertanyaan di atas iaitu ada berpendapat termasuk Ibn Taimiyyah bahawa Baginda menjelaskan semua makna al-Quran kepada sahabat sehingga tidak ada tertinggal seperti Baginda menyampaikan semua lafaz ayat al-Quran.

Bagaimanapun, pendapat kedua menyatakan bahawa Baginda tidak menjelaskan seluruh makna al-Quran, tetapi hanya sebahagian kecil yang diperlukan untuk umat manusia secara amnya. Pendapat kedua ini adalah pendapat al-Khubi, al-Suyuti dan lain-lain.

Kita tidak akan membincangkan hujah dan dalil kedua-dua pendapat terbabit tetapi kita boleh mencari jalan tengah di antara kedua-dua pendapat itu. Muhammad Hussein Al-Zahabi dalam kitabnya al-Tafsir waal-Mufassirun yang juga karya ilmiah untuk mendapatkan gelaran profesor di Universiti al-Azhar pada 1946 menyatakan: “Sesungguhnya Rasulullah SAW menjelaskan banyak makna al-Quran kepada sahabat seperti disahkan kitab hadis yang sahih tetapi tidak menjelaskan semua maknanya kerana ada sebahagian makna al-Quran hanya Allah SWT mengetahuinya; ada yang boleh diketahui ulama; ada juga maknanya yang boleh dengan mudah difahami orang Arab kerana berbahasa Arab; dan ada juga makna al-Quran yang mesti diketahui oleh setiap manusia kerana bahasanya yang jelas sebagaimana dikatakan oleh Ibn Abbas dalam riwayat Ibn Jarir:

Tafsir mempunyai empat jenis: jenis yang khusus diketahui orang Arab; tafsir yang mesti diketahui oleh setiap orang; tafsir yang diketahui oleh ulama; dan tafsir yang hanya diketahui oleh Allah SWT saja.

Secara logik, Rasulullah SAW sememangnya tidak perlu menjelaskan ayat-ayat al-Quran yang sudah diketahui maknanya oleh orang Arab kerana al-Quran diturunkan dengan menggunakan bahasa mereka seperti nama buah dan haiwan. Baginda juga tidak perlu menjelaskan ayat-ayat al-Quran yang pengertiannya boleh difahami secara mudah, tidak memerlukan apapun penjelasan oleh seseorang seperti bilangan, arah Barat dan arah Timur.

Baginda juga tidak menjelaskan makna ayat-ayat al-Quran yang hanya diketahui oleh Allah SWT seperti bila terjadinya hari kiamat dan hakikat nyawa. Bagaimanapun, Baginda hanya menjelaskan kepada sahabat sebahagian perkara ghaib yang dibenarkan Allah SWT untuk disampaikan dan juga perkara yang diketahui ulama menerusi ijtihad mereka seperti menjelaskan ayat-ayat al-Quran yang kabur maknanya, mengkhususkan yang umum dan menyelesaikan kemusykilannya. Jika kita mengatakan bahawa Baginda menjelaskan semua makna al-Quran kepada sahabat sudah pasti kita tidak akan menjumpai perbezaan tafsiran di kalangan mereka. Justeru, sebaliknya, kita mendapati dalam khazanah ilmu Islam perbezaan tafsiran oleh mereka mengenai satu-satu ayat.

Jika tafsir demikian adanya, dalam kategori terakhir ini yakni tafsir yang diketahui ulama menurut kajian ulama tafsir terdahulu dan terkemudian bahkan terbaru pun mempunyai beberapa cara tafsiran. Persoalannya, adakah mereka mentafsir al-Quran dengan akal atau mentafsirkannya menerusi syarak dengan pengertian bahawa mereka memahami al-Quran hanya dengan akal dan tidak memerlukan syarak atau sebaliknya mereka dalam mentafsir al-Quran memerlukan pendekatan syarak yakni dalil-dalilnya sedangkan akal hanya sebagai alat?

Sebagai contoh, dalam mentafsir lafaz ‘jin’ dalam al-Quran, jika kita mentafsirkannya hanya menggunakan akal, maka kita akan berpendapat seperti yang difahami oleh golongan Mutazilah yang tidak mempercayai kewujudan ‘jin’ kerana ia tidak masuk akal. Termasuk dalam golongan ini adalah aliran tafsir Muhammad Abduh yang melihat faktor bahasa hanya dilengkapkan perbahasannya selagi ada kaitan makna tafsiran dengan kata yang ditafsirkan, sedangkan yang berkaitan dengan sesuatu yang tidak difahami akal maka akan ditakwil agar sesuai dengan fahamannya tanpa merujuk kepada dalil-dalil syarak.

Oleh itu, kata ‘jin’ yang bererti sesuatu yang tertutup, ditafsirkan oleh muridnya, Rasyid Ridha sebagai kuman yang tertutup (tidak terlihat oleh pandangan mata). Pendapat ini mirip dengan pendapat Binti al-Syati, Aisyah Abdul Rahman yang secara tegas menyatakan pengertian perkataan ‘jin’ tidak semestinya difahami terbatas pada apa yang biasa difahami mengenai makhluk halus yang terlihat pada saat seseorang ketakutan pada waktu malam atau dalam ilusinya. Bagaimanapun, pengertiannya mencakupi segala jenis bukan manusia yang hidup dalam alam yang tidak terlihat, tidak terjangkau, dan berada di luar alam manusia. (Rujuk Kebebasan dan Pembatasan dalam Tafsir?) Sebaliknya, bagi yang menggunakan dalil-dalil syarak dalam mentafsir perkataan ‘jin’ ia akan difahami sebagaimana ditegaskan dalil syarak yakni al-Quran dan hadis iaitu makhluk yang dicipta oleh Allah daripada api. Mereka tidak menyerahkan sepenuhnya kepada akal tetapi menjadikan akal sebagai alat untuk memahami al-Quran.

Perbezaan di kalangan ulama Islam seperti dalam kategori di atas sudah wujud dari awal sejarah kemunculan Islam. Perbezaan antara tafsir yang wujud pada zaman Rasulullah dan sesudahnya adalah pada zaman nabi penjelasan langsung dibuat oleh Baginda seperti disebut al-Quran dalam ayatnya yang bermaksud: ...dan Kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkannya. (Surah al-Nahl: 44) dan dijelaskan dalam hadis Nabi yang bermaksud: Sesungguhnya diberikan kepadaku al-Quran dan yang serupa dengannya (yakni hadis). (Hadis riwayat Abu Daud) Apabila kita menggunakan akal kita saja dalam memahami al-Quran dengan tanpa merujuk kepada dalil-dalil syarak sudah tentu ajaran Islam tidak seindah dan sempurna yang ada sekarang.

Sebagai contoh ketika kita membaca terjemahan ayat dirikanlah sembahyang kemudian maknanya diserahkan kepada akal dan menidakkan syarak maka setiap orang akan sembahyang setakat pemahamannya tanpa ada takbir, membaca surah al-Fatihah, rukuk, sujud, duduk tasyahhud dan taslim seperti diajarkan al-Sunnah. Jika demikian yang terjadi maka akan hancur dan porak peranda Islam kerana masing-masing akal akan menganggap dialah yang paling benar. Di sinilah rahsia keunikan ucapan imam ulama tafsir, Makhul yang menyatakan: “al-Quran lebih memerlukan al-Sunnah daripada al-Sunnah memerlukan al-Quran. (Lihat al-Qurtubi, al-Jami, I/39) Oleh itu, kedudukan al-Sunnah adalah sangat penting dalam Islam kerana di telapak tangannya kesempurnaan ajaran Islam.

Syaitan sebagai musuh anak Adam yang ditetapkan Allah SWT sejak dulu lagi cuba menyesatkan mereka. Penyesatan berkenaan mempunyai kepelbagaian termasuk dalam menanamkan pendapat dan fikiran pada diri manusia agar mereka menggunakan akal saja dalam memahami al-Quran dan tidak perlu kepada dalil-dalil syarak yang lain sehingga mereka akan sesat dan menyesatkan. Ibn al-Qayyim berkata: “Hendaklah anda tahu bahawa iblis yang sungguh sedaya upaya untuk membelit manusia, dosanya yang pertama sekali ialah kekeliruannya terhadap perintah (Allah SWT), sehingga membelakangkan perintah yang sudah jelas menyuruhnya bersujud (kepada Adam), lalu ia mula membandingkan dalam hal asal kejadiannya dengan manusia, lalu dia berkata: "Engkau (Tuhan) menjadikan aku daripada api sedangkan Engkau menjadikan dia (Adam) daripada tanah.” (Shad: 76) Ibn al-Qayyim menambah: “Ketahuilah bahawa apabila anak Adam diciptakan, dilengkapkan padanya hawa nafsu dan syahwat untuk dia menikmati apa yang mendatangkan manfaat bagi dirinya. Dan diletakkan pula padanya sifat marah untuk menolak apa yang bakal mengganggunya. Kemudian dia diberikan akal sebagai pendidik dirinya, menyuruhnya berlaku adil dalam urusan apa yang mesti diambil dan apa yang mesti ditinggalkan.

Kemudian diciptakan syaitan baginya untuk menghasutnya tanpa tersekat-sekat dalam urusan apa yang diambilnya dan apa yang ditinggalkannya. Maka yang wajib atas orang yang berakal waras menjaga diri daripada musuh yang menyatakan permusuhannya dari zaman Nabi Adam AS. Musuh ini menghabiskan semua umurnya dan sedaya upaya dalam hal merosakkan semua urusan anak-anak Adam. Allah Taala juga memerintah Bani Adam supaya berhati-hati daripada hasutan syaitan, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Awas, jangan kamu mengikut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu. Sesungguhnya syaitan itu menyuruh kamu berbuat buruk dan keji (zina), dan supaya kamu mengatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu sendiri tiada mengetahui." (Surah al-Baqarah: 168-169).

Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud: "Syaitan itu sentiasa menjanjikan kamu kemiskinan dan menyuruh kamu melakukan perbuatan keji." (Surah al-Baqarah: 268) dan firman-Nya lagi bermaksud: "Syaitan itu mahu menyesatkan mereka sejauh-jauh kesesatan." (Surah al-Nisa': 60) dan juga firman-Nya bermaksud: "Yang sebenarnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan dan benci-membenci di antara kamu dalam hal minuman keras dan bermain judi, dan menghalang kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan solat, apakah masih kamu tidak mahu berhenti?" (Surah al-Maidah: 91).

Dengan menggunakan akal saja dalam mentafsir al-Quran maka terbuka luas perangkap syaitan kepada manusia. Salah satu fenomena tafsiran menggunakan akal saja adalah mentafsir al-Quran menerusi terjemahan ayat-ayat al-Quran tanpa merujuk kepada bahasa asalnya yakni bahasa Arab kerana menurut mereka, terjemahan al-Quran sudah memadai untuk memahami Islam sebenar. Jika ini yang terjadi maka janji Rasulullah dalam hadis mashur yang bermaksud: “Jika sesuatu perkara itu diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah suatu kehancuran akan berlaku ke atas kamu”. Itulah yang berlaku pada sesetengah golongan umat yang menjauhi ahli pentafsir al-Quran. Wallahu alam.

Sabtu, 12 Mei 2007

ERTI SABAR......


SABAR..Perkataan yang selalu kita ucapkan bila berlaku sesuatu musibah.Biasanya bila berlaku pada orang lain kita akan berpesan "sabar..sabar".Tapi adakah kita lakukan sesuatu dan ucapkan perkataan tersebut bila sesuatu musibah berlaku pada diri kita sendiri.RENUNGKAN...

Khamis, 26 April 2007

transportasi

Subhanallah....baru ku dapat jawapannya hari ini.Sebelum ini bukan ragu-ragu.tapi mahukan kepastian.Bukan tak percaya,bah lebih.Sebab aku percaya,jika ALLAH kehendaki sesuatu, pasti terjadi.Cuma aku mencari sebab dan jawapan yg sesuai bagi akal manusia yang tidak beriman kepada Allah.Bagaimana ianya berlaku..Transportasi..itulah jawapannya.Bagaimana orang soleh atau wali-wali Allah dapat pergi kesatu tempat dalam masa yang singkat atau sekadar sekelip mata.Teringat aku akan kisah seorang soleh di zaman Nabi Sulaiman yang dapat memindahkan singgahsana Ratu Balqis dalam sekelip mata sahaja.
Hari ini saintis sedang berusaha membuktikan sesuatu jasad tidak mustahil dapat dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat dalam sekelip mata sahaja atau sepantas kelajuan cahaya. Allah telah menunjukkan jalannya.Persoalannya adakah saintis islam yang mengkaji bidang ini dan kalau saintis bukan islam akhirnya menemui cara tersebut,adakah mereka mengaku kebenaran islam........

IJOK

Dua hari lagi penduduk ijok akan mengundi,menentukan siapa yg menjadi wakil meraka..Debaran semakin kuat terasa antara kedua-dua pihak yang bertanding serta penyokong meraka.
Seluruh negara menanti ijok..dalam resah..dalam debaran.Sekian banyak wang negara mengalir di sana...
IJOK..bertuah bumimu.Kematian wakil rakyatmu adalah rahmat buat mu.Betapa tidak.Siang dan malam,pembangunan sedang rancak.Seolah2 dirimu adalah planet yg baru ditemui.tiada siapa yg berkuasa di situ sebelum ini...Dalam tempoh berkempen ini mintalah apa saja,waima jambatan emas.Pasti ditunaikan..ermm.
IJOK..Cenburu ku pada mu..kenapalah wakil rakyat tempatku tidak mati-mati.Supaya aku dapat merasakan arus pembangunan yg datang menerjah tiba-tiba bagaikan tsunami.

DEMI MASA......