Tahukah anda perbuatan menidurkan bayi di dalam buaian mendedahkan anak kecil itu kepada risiko kecederaan terutama di bahagian kepala jika si bayi terjatuh?
Menurut pakar pediatrik dan mantan Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia, Datuk Dr. Zulkifli Ismail, menidurkan bayi dalam buaian sememangnya tidak digalakkan.
"Jangan terkejut jika diberitahu bahawa peratusan bayi yang dimasukkan ke wad akibat jatuh berpunca daripada buaian serta penggunaan alat bantuan berjalan (walker) adalah tinggi," katanya.
Malahan, bukan sekadar risiko jatuh atau terhantuk ke dinding, gegaran terhadap otak bayi turut boleh berlaku sekiranya henjutan buaian terlalu kuat
Jelas Zulkifli, sindrom gegaran bayi yang lazimnya berlaku pada bayi yang digoncang kuat turut ditemui pada bayi yang ditidurkan di dalam buaian.
"Hayunan dan henjutan buaian sudah cukup untuk mendedahkan bayi kepada kecederaan otak, termasuklah terhantuk pada dinding atau terhempas ke lantai.
"Perkara ini memang amat mudah berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja," katanya.
Tambahnya, meskipun tiada kecederaan fizikal atau mental yang boleh berlaku pada masa hadapan akibat terjatuh daripada buaian, namun ia menjadi parah jika berlaku pendarahan dalam otak.
"Benjolan atau lebam (hematoma) yang wujud akibat jatuh harus dipandang berat oleh ibu bapa. Apatah lagi kalau ia diikuti muntah-muntah atau sawan.
"Keadaan tersebut menandakan kemungkinan ada bahagian tengkorak yang retak," katanya.
Menyentuh mengenai mudahnya bayi mendapat kecederaan kepala, Zulkifli menjelaskan ia bergantung kepada jenis permukaan serta jarak ketinggian anak itu jatuh.
Menurutnya, agak sukar gegaran otak untuk berlaku kerana otak manusia dilindungi oleh tempurung kepala dan dikelilingi cecair otak bagi melindunginya daripada gegaran atau impak yang kuat akibat terjatuh.
"Yang menjadikan keadaan bayi tersebut parah adalah apabila dia berusia kurang daripada 18 bulan kerana ubun-ubunnya masih lembut. Justeru, risiko untuk tempurung kepala tercedera agak besar," jelasnya.
Di samping itu, keadaan fizikal kepala bayi yang lebih besar dan berat daripada badan membuatkan mereka mudah terjatuh kepala dahulu kerana tidak dapat mengimbangi badan.
Jelas Zulkifli, bayi yang mula berjalan akan lebih banyak terjatuh. Ibu bapa harus memberi perhatian yang lebih pada peringkat ini.
"Bukan saja lebam disebabkan terhantuk malah tangan dan kaki mereka juga boleh patah dan terseliuh," katanya.
Menurut beliau, andaian yang mengatakan bayi tidur lebih lama di dalam buaian harus dikikis oleh ibu-ibu.
Ujarnya, jangan kerana tidak mahu diganggu ketika membuat kerja rumah, ibu-ibu mengambil langkah mudah dengan menidurkan bayi di dalam buaian.
"Tali pengikat, spring serta kain penyokong buai amat berbahaya. Andai salah satu tidak berfungsi, kebarangkalian bayi anda terjatuh atau dihempap spring atau besi sangat tinggi," katanya.
"Sucikan dirimu dari segala 'aib... nescaya akan terbuka bagimu pintu ghaib!" - Kalam Hikmah Syeikh Abd. Malik Abdullah (Tok Pulau Manis)
Sabtu, 21 Mac 2009
MEMBENDUNG MAKANAN RINGAN
ANTARA sedar atau tidak, dari sehari ke sehari, anak-anak anda menjadi semakin terpengaruh dengan pelbagai jenis snek atau makanan ringan yang dijual penjaja di luar bangunan sekolah. Rata-rata makanan ringan itu tidak mengandungi khasiat, malah mungkin akan memudaratkan kesihatan dalam jangka masa panjang!
Bagi menyedapkan rasa, kebanyakan snek itu mengandungi monosodium glutamate (MSG). Malah ada juga snek yang tinggi kandungan lemak, garam dan gula, selain disertakan dengan barang permainan yang dijadikan umpan pembelian.
Menurut Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk N. Marimuthu, menyedari seriusnya isu makanan ringan dalam kalangan generasi muda global hari ini, Hari Hak Pengguna Sedunia 2009 yang disambut pada 15 Mac lalu sekali lagi menyokong kempen Consumers International (CI) untuk memerangi isu makanan ringan.
Kempen yang dijalankan CI itu bertajuk 'Generasi Makanan Ringan: Kempen Menghentikan Pemasaran Makanan Tidak Sihat kepada Kanak-Kanak.'
CI yang ditubuhkan pada 1960 adalah gabungan persatuan-persatuan pengguna sedunia. Ia kini mempunyai 220 anggota di 15 buah negara.
Isu obesiti
Marimuthu berkata, sekurang-kurangnya 22 juta kanak-kanak di seluruh dunia berusia lima tahun didapati mengalami masalah berat badan berlebihan dan kegemukan.
Tindakan segera, tegasnya, perlu dilakukan bagi mencegah merebaknya epidemik obesiti kanak-kanak.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan menjalankan kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional (HMNS) setiap 10 tahun dan terdapat hasil kajian yang mengejutkan dalam kajian terkini, NHMS III (2006).
"Bagi golongan dewasa berumur 30 tahun ke atas, jumlah rakyat Malaysia yang mengalami berat badan berlebihan mencecah 29.1 peratus dan bagi obesiti pula 14.0 peratus berbanding kadar pada NHMS II (masing-masing 16.6 peratus dan 4.0 peratus).
"Untuk penyakit kronik pula, kadar pesakit diabetes meningkat sebanyak 6.6 peratus kepada 14.9 peratus dan bagi hipertensi, peningkatan yang mengejutkan dicatat iaitu 12.7 peratus kepada 42.6 peratus dalam kalangan orang dewasa Malaysia," katanya.
Sejak awal 2007, Kementerian Kesihatan, menurut Marimuthu, membelanjakan sebanyak RM180 juta atau 20 peratus daripada bajet tahunan berjumlah RM900 juta bagi kos ubat untuk penyakit kronik iaitu hipertensi, diabetes dan kolesterol tinggi.
"Jumlah pesakit pula dijangka meningkat sebanyak 13 peratus pada 2020," kata Presiden Fomca itu.
Pemasaran makanan
Tarikan untuk membeli apa juga produk bergantung sebahagian besarnya kepada kaedah pemasaran yang digunakan oleh industri makanan, khususnya untuk memancing perhatian pembeli muda.
Antara taktik pemasaran umum yang sering disasarkan kepada kanak-kanak dan remaja ialah iklan televisyen, penajaan program, tarikan alat permainan, promosi pembungkusan dan penajaan watak kartun atau selebriti.
Di samping itu, industri makanan ringan juga mengadakan peraduan, memberikan barangan percuma, penajaan aktiviti sekolah serta mengadakan promosi jualan secara besar-besaran menerusi penyebaran risalah.
Marimuthu menarik perhatian bahawa Pasukan Petugas Obesiti Antarabangsa (IOTF) dalam menyusun strategi sejagat mencegah obesiti kanak-kanak 2006 membuat rumusan berikut:
*Amalan pemakanan kanak-kanak di seluruh dunia termasuk di negara China dikuasai oleh makanan dan minuman yang tidak sesuai bagi mereka.
*Industri sering menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran untuk produk yang dikeluarkan bagi memupuk kesetiaan kepada jenama pelbagai produk, seperti alat permainan sehinggalah makanan dan minuman.
*Kegiatan memperdagang produk kepada kanak-kanak telah mewujudkan persepsi, pemahaman dan pengetahuan kabur kanak-kanak tentang amalan pemakanan yang sihat. Ini boleh memberikan kesan negatif yang ketara terhadap pembesaran kanak-kanak.
Kod antarabangsa
Presiden Fomca itu berkata, pihak CI dan IOTF telah menggesa WHO membangun dan mengguna pakai kod global bagi mengawal pemasaran makanan yang tidak sihat kepada kanak-kanak.
Penggunaan kod global itu diharap dapat mengatasi masalah obesiti dan penyakit kronik yang berkaitan dengan amalan pemakanan.
"Hanya makanan dan minuman yang tidak sihat (yang tinggi kandungan lemak, gula dan garam) dilarang dipasarkan kepada kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah.
"Dengan itu, pihak industri seharusnya dapat menghasil dan memasarkan produk yang lebih sihat dan berkhasiat kepada kanak-kanak," tambahnya.
Beliau menjelaskan, kod global itu antaranya mengharamkan iklan makanan tidak sihat dalam tempoh waktu antara pukul 6 pagi hingga 9 malam, larangan promosi makanan tidak sihat melalui media baru seperti laman web interaktif dan larangan promosi makanan yang tidak sihat di sekolah.
Kod global itu juga melibatkan larangan hadiah percuma, barang mainan atau barangan yang boleh dikumpul untuk promosi makanan tidak sihat dan larangan penggunaan selebriti, watak kartun dan pertandingan untuk mempromosi makanan yang tidak sihat. - Bernama
Langgan:
Catatan (Atom)