Selasa, 20 Januari 2009

PILIHANRAYA KECIL PARLIMEN KT

Kekalahan BN atau lebih tepat lagi UMNO pada pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu bukanlah satu tamparan buat UMNO bahkan ia merupakan tendangan maut yang mengenai batang leher yang menyebabkan mereka tersungkur dan menggelupur di gelanggang.
Bahkan refree(SPR) kali ini tidak berdaya membantu apa-apa. Hero ini kalah dengan KO, bukan kiraan mata. Semua mata penonton menyaksikan ia tersungkur di kaki lawan. Mustahil lagi untuk ditipu kemenangan ini.

Tapi UMNO tetap UMNO. Tak berubah dulu kini dan selamanya.Tidak mahu akui bahawa idealogi mereka telah ditolak oleh rakyat. Rakyat sudah muak.

Orang yang sombong dan angkuh tidak akan pernah mengakui kelemahan dan kekalahan. Namrud juga begitu. Bila kalah dia tangkap Nabi Ibrahim A.S. lalu dibakar. Pembesar Mesir bila mengetahui akan kebenaran Nabi Yusof lantas di penjarakannya.

Sabtu, 17 Januari 2009

Keturunan Yakjuj, Makjuj


KISAH mengenai Bani Israel jelas dinyatakan di dalam al-Quran melalui pelbagai ayat dan surah. Banyak teks yang menerangkan perihal mereka, terutama membabitkan ajaran diperjuangkan nabi dan rasul di kalangan mereka.

"Wahai Bani Israel! Kenangkanlah nikmat-nikmat-Ku yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang (yang ada pada zamannya). (al-Baqarah:47)


Dalam kamus Inggeris orang Yahudi atau Israel dikenali sebagai Jew, dari istilah Perancis giu. Jew asalnya istilah Hebrew, merujuk kepada orang Yahudi, etnik dari Israel atau Hebrew (ahli kaum Semit Arab dan Yahudi).

Bahasa Latin ringkasya bermaksud Judaean, dari perkataan Judah, iaitu nama kerajaan Judah dan satu suku kaum Israel.

Jerman memanggilnya Jude, Juif (Perancis), Jode (Denmark) dan Judio (Sepanyol).

Mengikut sejarah, Yahudi yang difahami merujuk dari zaman dahulu kala, malah mengikut adat mengembalikan kepada zaman millennium kedua Sebelum Masihi, dari Nabi Ibrahim, Nabi Ishak dan Yaakub a.s.

Nabi Yaakub, putera kepada Nabi Ishak, yang dilahirkan di Kan'an (bahasa Hebrew, nama lama bagi Palestin), dinasabkan dengan keturunan Bani Israel dan baginda dinamakan juga Israel.

Isra' membawa erti hamba, kesucian, manusia, manakala 'el' bererti Allah. Perkataan Israel merujuk kepada hamba kesucian Allah.

"Segala jenis makanan dulu halal bagi Bani Israel, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israel (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat..." (Ali Imran: 93)

Begitupun, dalam pemahaman moden, Yahudi merujuk kepada tiga kumpulan; orang yang dilahirkan dalam keluarga Yahudi sama ada mengikuti atau tidak agama itu; mereka yang mempunyai keturunan; dan tiada keturunan Yahudi tetapi memeluk agama itu.

Fakta penyelidikan seorang sarjana Yahudi, Arthur Koestler, menunjukkan lebih daripada 80 peratus Yahudi hari ini langsung tidak mempunyai kaitan sejarah dengan bumi Palestin.

Majoriti Yahudi sekarang berketurunan Yahudi Khazar iaitu puak Tartar-Turki kuno, di utara Kaukaz (kawasan bekas Soviet) yang asalnya mengamalkan kepercayaan Shamanisme. Cuma sekitar abad kesembilan menjadikan Judai (Yahudi) sebagai agama.

Kemudian Khazar dianggap sebagai satu daripada empayar kegemilangan Yahudi manakala penduduk Khazar dipercayai menjadi antara moyang bangsa Yahudi moden ketika ini.

Pendeta Benedictine, Christian dari Stavelot dalam bukunya yang ditulis pada abad kesembilan, "Expositio in Matthaeum Evangelistam' merujuk Khazar sebagai bangsa nomad yang berasal daripada keturunan Yakjuj dan Makjuj.

Seorang pengembara Arab, Ibnu Fadlan dalam catatan perjalanannya ketika mengadakan misi diplomatik untuk menghadap orang suruhan Raja Khazar menyatakan beliau percaya Yakjuj dan Makjuj adalah moyang kepada Khazar.

Berbanding bangsa Palestin, dikenali juga sebagai bangsa Kan'an yang diperakui mendiami tanah itu dari awal sejak sekian lama sebelum orang Israel mendatangi lokasi terbabit.

Orang Yahudi moden berusaha menubuhkan Tanah Israel (Land of Israel), khususnya mereka berhaluan utama untuk dikongsi semua golongan terbabit.

Istilah Tanah Israel bukannya negara Israel, iaitu sebuah negara geopolitik moden yang lebih kecil, tetapi ia dikatakan wilayah menurut Injil Hebrew dijanjikan Tuhan kepada pengikut Ibrahim melalui puteranya Isa dan orang Israel, pengikut Yaakub.

Negara moden Israel hari ini terbentuk pada 14 Mei 1948. Peringkat awal pembentukannya menyaksikan perpindahan besar-besaran, termasuk saki baki Holocaust (pemusnahan oleh Nazi Jerman, 1941-1945 membabitkan korban enam juta Yahudi).

Kerajaan Israel dikenali juga sebagai rejim Zionis, iaitu pergerakan politik antarabangsa yang menyokong tanah air orang Yahudi di Land of Israel. Pergerakan rasminya diasaskan seorang wartawan Austria, Theodor Herzl pada akhir kurun ke-19.

Menurut Agensi Yahudi, pada 2007 ada 13.2 juta Yahudi seluruh dunia, dengan 5.3 juta tinggal di Israel, 5.3 juta di Amerika Syarikat dan bakinya bertaburan di pelbagai negara, mewakili 0.2 peratus populasi semasa dunia.

Yahudi terkenal sebagai suatu bangsa yang mengingkari perintah Tuhan, golongan yang melampau dalam banyak aspek, keras kepala dan taksub. Teks al-Quran dan lipatan sejarah membuktikan kenyataan itu.

Sebagai contoh, ketika pemergian Nabi Musa a.s selama 40 hari ke Thur Sina, sesetengah mereka menyembah patung anak lembu. Walaupun dinasihati, mereka tidak mempedulikannya.

Kehidupan orang Yahudi terbahagi kepada beberapa zaman, dengan yang pertama berakhir apabila rumah ibadat pertama dimusnahkan orang Babylon. Rumah ibadat itu dibangunkan Nabi Sulaiman.

Mereka ditakluki pelbagai kuasa besar, seperti orang Assyrians (dari bahagian atas Sungai Tigris di Iraq), Babylon, Parsi, Empayar Roman dan Islam. Cuma di bawah kekuasaan Islam mereka dilayan dengan adil.

Di wilayah Iberia misalnya, pemerintahan Muslim memberi kebebasan kepada Yahudi memajukan diri dalam matematik, astronomi, falsafah, kimia dan filologi, sehingga zaman itu sering dirujuk sebagai zaman emas Yahudi.

Pada masa awal Islam, Leon Poliakov menulis, orang Yahudi mendapat banyak keistimewaan dan masyarakat mereka bertambah maju.

Dalam tempoh penaklukan pelbagai kuasa besar, mereka acap kali diusir, malah dijual dalam pengabdian pada masa Empayar Roman.

Pada kurun kedua Maharaja Roman Hadrian membina semula Jerusalem yang hancur sebagai kota orang jahiliah dan dijadikan tempat upacara agama orang Yahudi. Marah dengan penghinaan itu, mereka memberontak.

Hadrian bertindak balas, memadamkan pemberontakan dengan membunuh lebih setengah juta Yahudi.

Kemudian pada zaman Roman Legions, orang Yahudi tidak dibenarkan memasuki kota Jerusalem (dikenali Muslim sebagai al-Quds atau Baitulmaqdis) dan kebanyakan ibadat mereka dilarang. Pada tahun 212, semua orang Yahudi dijadikan rakyat Roman.

Pada akhir kurun empayar Rom, orang Yahudi dan Kristian mengamalkan tolak ansur, tetapi arah tuju yang bertentangan.

Orang Yahudi pernah bersekutu dengan orang Parsi yang menceroboh Palestin pada 614, tetapi apabila perintah Kristian diasaskan semula akhirnya mereka disembelih dan dilupuskan dari Jerusalem.

Ternyata mereka tidak pernah belajar daripada penaklukan, penghinaan dan pemusnahan dialami sepanjang sejarah, akibat suka membuat onar dan bersengketa.

Hari ini mereka bersengketa pula dengan orang Islam, terutama rakyat Palestin.

Analogi Kunci Kepada Kehidupan

Dalam kehidupan ada pasang-surutnya, ada masa kita dikurniakan nikmat dan adakalanya kita ditimpa musibah atau ujian. Manusia yang hidup didunia ini tidak akan seorang pun akan lepas dari ujian. Kadangkala kita terlupa apakah tujuan sebenarnya ujian-ujian yang menimpa ke atas kita. Sesungguhnya Allah tidak mencipta sesuatu dengan sia-sia. Dengan kata lain, ada hikmahnya.

Apa yang ingin disentuh ialah salah satu cara untuk mengawal diri dari terbabas ketika menerima ujian atau musibah. Terutamanya untuk pelajar-pelajar yang mendapati kesukaran dalam pelajaran. Seperti pepatah yang mengatakan 'Langkah yang seribu, tidak akan bermula melainkan dengan langkah pertama.

Dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi, kita boleh lihat analogi kunci. Kita diibaratkan seperti seorang yang ingin membuka sebuah pintu. Kita diberi satu gugusan kunci yang banyak. Katakanlah satu gugusan kunci mengandungi 1000 kunci. Pintu yang dikunci boleh diibaratkan dengan masalah yang hadapi. Jadi untuk membuka pintu tersebut mahu tak mahu, kita perlu mencuba satu per satu kunci dalam gugusan tersebut.

Masaalahnya disini sejauh manakah kita mampu untuk membuka tersebut tersebut sedangkan kita mempunyai segugus kunci yang mempunyai 1000 kunci? Hanya dengan keyakinan? doa? tawakkal?. Bahkan kita perlukan usaha untuk membukanya.

Keyakinan bahawa pintu tersebut akan terbuka akhirnya jika kita cuba membuka satu per satu perlu ada. Disamping itu, keyakinan bahawa Allah hanya akan melihat kepada usaha lebih dari keputusan juga perlu ditanamkan dalam hati. Usaha yang berterusan juga perlu. Tidak mudah putus asa. Tidak futur dalam perjuangan.

Kembali kembali kepada analogi tadi. Kita akan merasai susah jika kita cuba membuka pintu tersebut dengan kunci yang pertama. Tetapi perlulah diingat, semakin lama kita mencuba, insyaALLAH, semakin tinggi kebarangkalian untuk pintu itu dibuka. Manakan sama kebarangkalian untuk pintu itu dibuka apabila kunci yang pertama dibuka (1/1000), berbanding dengan kunci yang terakhir dibuka (999/1000).

Maka, ingatlah, setiap ujian dan kesusahan, jika kita mencuba secara berterusan, insyaALLAH, perkara yang kita hadapi akan menjadi lebih mudah.


www.iLuvislam.com
ibnulatef

Isnin, 12 Januari 2009

Muhammad manusia paling berpengaruh

BUKU yang paling menjadi bacaan di seluruh dunia, The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History. (Terbitan New York: Carol Publishing Group/Citadel Press) karya Michael H. Hart yang diterbitkan pada 1978 telah menimbulkan kejutan apabila penulis meletakkan Nabi Muhammad SAW menduduki tempat paling teratas sebagai individu yang paling berpengaruh dalam sejarah dunia!

Ramai yang mempersoalkan pemilihan beliau itu lebih-lebih lagi sebagai penulis Barat beliau sewajarnya menobatkan Nabi Isa a.s yang dikatakan mempunyai lebih ramai pengikut yang menganut Kristian.

Alasan Hart, Rasulullah melebihi Nabi Isa apabila didapati Baginda tidak sahaja sebagai pesuruh Allah dan nabi terakhir di muka bumi. Namun yang jelas Baginda mempunyai ketokohan yang sangat tinggi sebagai diplomat, ahli perniagaan, ahli falsafah, pemidato, pakar undang-undang, ahli pembaharuan dan pemimpin tentera serta ketua keluarga.

"Saya memilih Muhammad bagi mengetuai senarai manusia yang paling berpengaruh dalam sejarah mungkin mengejutkan sesetengah pembaca dan dipersoalkan oleh sesetengah yang lain.

"Akan tetapi Baginda merupakan satu-satunya dalam sejarah dunia yang mencapai kejayaan yang paling gemilang yang tidak sahaja dalam agama malah di peringkat sekular (dunia)," kata Hart.

Jika Hart mampu mengenali Rasulullah sebegini dekat, bermakna penulis buku ini begitu mengkaji seluruh sejarah riwayat hidup sehingga kewafatan Baginda.

Lebih-lebih lagi kepada umat Islam itu sendiri yang setiap kali mengucapkan kalimah syahadah mengakui sepenuh hati bahawa Baginda adalah pesuruh Allah, adakah mereka sendiri mengenali Baginda?

Belum terlambat apatah lagi dengan adanya sebuah buku yang diterbitkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) pada 2004 yang kemudian di ulang cetak pada 2006 dan 2008.

Buku Sirah Nabawiyyah SAW setebal 733 halaman muka surat ini diterbitkan selepas memenangi Johan Sayembara Penulisan Sirah Nabawiyyah anjuran Rabitah Al Alam Al Islami.

Buku ini pada asalnya ditulis oleh pensyarah di Universiti Salafiyyah al Sheikh Safiyyu al Rahman al Mubarakfuri yang diterbitkan oleh Dar al Basyir Tanta, Mesir yang kemudian diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Muhammad Ramzi Omar.

Tugas menterjemah sesungguhnya bukan mudah, tidak ramai yang sanggup mendepani cabaran dengan tanpa meninggalkan sepatah perkataan pun untuk diterjemah.

Namun ternyata Muhammad Ramzi mampu melaksanakan tugas sukar ini bagi membuktikan demi kecintaan kita terhadap Rasulullah, buku ini akhirnya berjaya dihasilkan.

Buku ini tidak menceritakan mengenai Baginda Rasulullah dari detik kelahirannya di muka bumi ini.

Namun penulis buku menjelaskan kepada pembaca mengenai peri pentingnya kepada mereka untuk mengetahui sejarah Tanah Arab itu sendiri terlebih dahulu.

Penulis perlu mengambil 'masa' sedikit, terutama mengenali bangsa Arab dan kerajaan-kerajaan awal yang memerintah di pelbagai wilayah di Semenanjung Arab.

Ini membawa kepada gambaran mengenai keadaan politik, ekonomi dan sosial bangsa tersebut sebelum kelahiran Nabi Muhammad.

Ini semua bagi membolehkan para pembaca menjadi lebih jelas dan memahami siapa sebenarnya bangsa Arab dan peristiwa-peristiwa yang sehingga membawa kepada turunnya agama Islam secara rasmi.

Begitupun di peringkat permulaan bagi mengambil apa yang disifatkan sebagai yang wajib tahu mengenai sirah Rasulullah dari buku ini, mungkin perlu dinukilkan terlebih dahulu mengenai Rasulullah secara fizikal.

Walaupun ramai mengetahui gambaran-gambaran wajah, tubuh dan keperibadian Baginda seperti diceritakan dari mulut ke mulut atau bahan bacaan, namun jarang terdapat ia diungkap dari mulut mereka yang pernah menemui atau yang sezaman dengan Rasulullah itu sendiri.

Anak angkat, menantu yang juga merupakan antara sahabat-sahabat besar Rasulullah dalam satu riwayat menceritakan mengenai Baginda.

Saidina Ali bin Abi Talib, berkata Nabi Muhammad, orangnya tidak tinggi melampai dan tidak terlalu rendah, ketinggiannya sederhana di kalangan orang lain. Rambut lebatnya tidak kerinting dan tidak juga lurus tetapi antara keduanya, tidak bermuka cengkung dan tidak tembam.

Mukanya bulat dan putih kemerahan.

Kalau dia berjalan di tanah maka diangkat kakinya tanpa menyeret ke bumi bagaikan sedang berjalan di tanah yang cerun.

Kalau Baginda berpaling maka beliau akan berpaling berserta badannya.

Antara dua belikatnya ada cap kenabian yang menunjukkan Baginda penyudah segala nabi, sebagaimana yang diceritakan oleh seorang rahib Nasrani, Bahira ketika baginda berusia 12 tahun dibawa bapa saudaranya, Abu Talib berdagang di Syam. "Sesungguhnya aku mengenalinya dengan cap kenabian di bawah tulang belikatnya seperti buah epal. Kami dapatinya ada disebutkan dalam kitab-kitab kami".

Sementara Ummu Ma'bad al Khuzaiyyah menceritakan mengenai Baginda kepada suaminya tatkala Rasulullah singgah di khemah mereka dalam hijrahnya.

"Seorang yang ketara keseriannya, putih mukanya, baik akhlaknya, tidak merasai beban oleh badan yang besar, tidak boleh diperlekehkan kerana kepalanya yang kecil, indah rupa paras dan menarik perhatian, luas dan tampak jelas mata putih dan mata hitamnya, rambutnya lebat, suaranya serak-serak basah, lehernya jinjang, mata hitamnya sangat ketara, tampak urat lengannya, alisnya nipis, kening bercantum dan rambutnya sangat hitam.

"Kalau Baginda diam nampak nyata kehebatannya dan kalau dia berbicara nampak nyata keterampilannya, manusia paling menawan dan paling menarik jika dipandang dari jauh, paling cantik dan manis dari dekat..." kata Ummu Ma'bad.

Al Barra berkata, Baginda ialah orang yang paling tampan wajahnya dan paling indah akhlaknya.

Al Rubayyi binti Mu'awwidh berkata; "Kalau engkau melihat Baginda, bagaikan engkau melihat matahari yang terbit".

Abu Hurairah pula berkata; "Tidak pernah ku melihat sesuatu pun yang lebih indah daripada Rasulullah bagaikan matahari berarak di mukanya. Tidak pernah aku lihat seorang yang lebih cepat berjalan daripada Rasulullah bagaikan bumi dilipatkan untuknya dan kami terpaksa mengagahi diri kami sedangkan Rasulullah berjalan bersahaja".

Tulisan yang diambil sebahagian daripada banyak lagi cerita mengenai gambaran fizikal Rasulullah dari bab terakhir di buku ini, tidak bertujuan memberikan ilham kepada mana-mana pihak untuk menggunakan kepakaran dalam seni lukis bagi menghasilkan lukisan Rasulullah secara fizikal.

Ini kerana sebaik mana atau sehebat manapun potret yang dilakar tidak akan menyamai mengenai gambaran sebenar Rasulullah.

Selain perkara ini diharamkan dilakukan oleh mana-mana pihak.

Namun tidak lebih gambaran ini bagi menambahkan kecintaan kita kepada Rasulullah sebagaimana yang sering diungkap; "Dari mana datangnya cinta, dari mata jatuh ke hati!"

Terkadang sebelum kita berkongsi kepayahan yang terpaksa dilalui oleh Rasulullah dalam tugas Baginda menyebarkan Islam perlu 'menampakkan' terlebih dahulu siapa Baginda.

Sirah Rasulullah bukan sebarang catatan memoir. Ini kerana jika Baginda diiktiraf sebagai manusia paling berpengaruh di muka bumi ini bererti penceritaan kisah dan sejarah Baginda bukan sebarangan.

Ini kerana al-Quran turut memaparkan segala kisah Rasulullah bagi mengesahkan segala kebenaran mengenai pesuruh Allah ini dan buku ini memperkayakan lagi khazanah pengetahuan mengenai Baginda.
Utusan Malaysia
12 januari 2009

Ahad, 11 Januari 2009

TEROWONG JIHAD







Kubu rahsia Hamas
Susunan Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my

SEORANG penyeludup Palestin turun ke pintu masuk satu terowong yang berada di sempadan Gaza-Mesir.




Selain Koridor Philadelphi yang dikesan Israel, ada ratusan lagi terowong yang berselirat antara Gaza dan Mesir

JIKA terowong menjadi nadi kehidupan kebanyakan warga Semenanjung Gaza, bagi Hamas, terowong adalah paksi kekuatan ketenteraannya.

Ini diakui Komander Israel bahawa pergerakan Islam masih memiliki jumlah senjata yang besar dan mempunyai lebih 20,000 pejuang terlatih yang mana mereka bergerak melalui terowong jauh di bawah sempadan Mesir.

Terowong ini adalah kunci memastikan kuasa politik dan ketenteraan Hamas yang bukan saja menjadikan mereka sasaran serangan Israel malah menjadi isu utama dalam rundingan gencatan senjata.

Selain sebuah terowong yang dikenali sebagai Koridor Philadelphi yang sudah diketahui Israel, ada ratusan lagi terowong yang berselirat antara Gaza dan Mesir.

Pengarah Pusat Pengajian Strategik Begin-Sadat Universiti Bar-Ilan Israel, Prof Efraim Inbar, percaya kerajaan Israel bertanggungjawab pada kewujudan pelbagai terowong ini.
PENYELUDUP bercakap menggunakan telefon dengan penyeludup lain di terowong.

“Israel tidak melihatnya sebagai serius pada awalnya. Malah tidak menggunakan sumber dan wang yang ada untuk mengesan dan menghentikannya. Masalah yang dihadapi Israel sekarang adalah mereka perlu memusnahkan semua terowong ini dan memastikan ia tidak akan dibina pada masa depan,” katanya,

Terowong yang berselirat di bawah tanah Semenanjung Gaza memiliki sejarah yang panjang. Ia dibina bertahun dulu dengan pelbagai kedalaman dan keluasan.

Terowong menjadi laluan pelbagai benda, daripada anak kambing kepada roket. Malah, ada yang hanya dikhaskan untuk golongan kenamaan dengan laluan yang lebih pendek.

Sebelum ini, Israel pernah menimbangkan untuk menangani kewujudan terowong ini dengan menggali parit yang dipenuhi dengan air laut. Justeru, setiap pengguna terowong berisiko untuk lemas. Bagaimanapun, pelan itu tidak menjadi kerana ia boleh mendedahkan Gaza pada keadaan bawah tanah yang rapuh.

Israel juga pernah meminta Amerika Syarikat membekalkan jurutera tentera yang boleh membina dinding bawah tanah di sebelah Mesir bersebelahan Koridor Philadelphi. Amerika Syarikat bersetuju pada prinsipnya walaupun tidak jelas sama ada pihak Mesir memberikan kebenaran.

Ketakutan Israel pada terowong di Gaza yang semakin banyak dibuka semula amat jelas apabila mereka meminta pihak berkuasa antarabangsa memantau gencatan senjata.

Malah, Israel cuba untuk memusnahkan jaringan bawah tanah ini dengan bom jenis bunker-busting (bom yang boleh menembusi sasaran bawah tanah) yang diperoleh dari Amerika Syarikat.

Nicholas Pelham, penganalisis dari Kumpulan Krisis Antarabangsa berkata, penutupan terowong ini secara kekal adalah proses utama dan berpanjangan.

“Tanpa memperoleh semua wilayah, sukar untuk menutup terowong ini dalam masa yang lama,” katanya.

Apa yang membuat Israel lebih bimbang apabila sayap bersenjata Hamas, Briged Izz Al-Din Al-Qassam menggunakan terowong untuk persiapan perang. Sayap itu dikatakan menghantar ribuan pejuang untuk berlatih di Iran dan Lubnan melalui terowong, taktik yang digunakan secara berjaya oleh Hizbollah bagi menentang Israel pada 2006.

Menurut seorang Komander Hamas, satu daripada pelajaran yang dipelajari daripada terowong adalah ia mengurangkan risiko yang diambil apabila menyerang balas.

“Jangan ledakan bom di situ, gali terowong dan gunakan wayar peledak bagi membolehkan misil dilancarkan dari jauh. Jadi, Hamas hanya akan kerugian tiub atau alatan menembak yang hanya berharga RM30.20 dan bukan pejuang,” katanya.

Komander Islam Jihad, Abu Bilal yang beroperasi secara bebas di Gaza, mengakui serangan roket secara psikologinya memusnahkan Israel tetapi memiliki impak ketenteraan yang sedikit.

“Kami tidak boleh berbuat apa-apa selain serangan roket dan harapan mereka memasuki Gaza. Kami berdoa supaya kereta kebal masuk ke kawasan kami, semua pejuang akan menunggu peluang untuk membunuh mereka,” katanya.


Rangkaian persenjataan Hamas termasuk misil Qassam yang dihasilkan di Gaza dan roket tiruan Russia yang dihasilkan di China. Semua itu diseludup melalui sempadan selain mortar, mesingan, bom, pelancar roket dan pelbagai senjata perang lain yang diimprovisasi.

Hamas juga mewarisi stok senjata infantri Amerika Syarikat dan amunisi yang ditinggalkan Pergerakan Fatah apabila pejuangnya keluar dari Gaza pada 2007.

Hamas juga meningkatkan struktur ketenteraannya dengan lima briged di bawah komander berbeza yang melapor kepada Ketua Izz Al-Din Al-Qassam. Mereka juga dilatih bergerak dalam unit individu jika keadaan memerlukan.

Selain itu, pejuang Hamas juga meningkatkan propaganda melawan persenjataan Israel. Dengan wartawan yang dihalang memasuki Palestin oleh tentera Israel, laman web Hamas - Pusat Maklumat Palestin (PIC) adalah senjata utama bagi mendapatkan sumber berita. Ia menyiarkan berita duka berikutan serangan Israel dan ikrar untuk menyerang wilayah yang dikuasai Israel.

PIC juga memberi alamat web yang lain jika laman web itu gagal dicapai. Ini kerana Israel sentiasa mencari jalan memusnahkan Hamas termasuk mengganggu stesen TV Hamas, Al-Aqsa dengan menyelitkan kartun menunjukkan pejuang Hamas diletupkan dengan nasihat 'anda tidak akan berjaya'.

Info

Terowong Gaza

# Ada lebih 750 terowong di bawah bumi Gaza dan satu daripadanya ditemui Israel dikenali sebagai Koridor Philadephi.

# Terowong yang biasa untuk penyeludupan barangan pengguna panjangnya antara 800 hingga 1,400 meter dengan kedalaman antara 15 hingga 30 meter.

# Pembinaan mengambil masa paling kurang enam.

# Upah menggali RM480 sehari.

# Dianggarkan 90 peratus produk yang memasuki Gaza setiap bulan bernilai RM128 juta dan semuanya dibawa melalui terowong melalui Mesir.

# Jaringan bawah tanah ini juga sumber pendapatan dan senjata bagi pergerakan Hamas dengan bayaran RM8,880 untuk setiap terowong.

Khamis, 8 Januari 2009

Selasa, 6 Januari 2009

PENAMAAN CALON

Hari ni penamaan calon bagi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu.
Semoga kemenangan bagi pihak yang berjuang untuk Islam.

Ahad, 4 Januari 2009


MEGAH TIADA DARA

Itulah bunyi tajuk Harian Metro Edisi Ahad, 4 Januari 09.

" Di kalangan kira-kira 20 orang kawan perempuan saya, 17 daripada sudah tiada dara. Ini satu kebanggaan buat kami. Siapa yang tiada dara akan kami kutuk dan pulaukan," kata Mira, 15.
Ini antara petikan pengakuan yang terpampang di halaman hadapan Harian Metro tersebut. MasyaAllah...Inilah realiti yang berlaku di Negara Islam Hadhari sekarang.

Khamis, 1 Januari 2009

Untuk Difikir-fikirkan

Mimpi 'Islamkan' Lamaan Ball

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

NIKMAT yang tidak terhingga besar yang pernah Allah kurniakan kepada seseorang itu apabila dia dilahirkan sebagai Islam. Nikmat ini wajib disyukuri kerana tidak mampu dibayangkan jika dilahirkan atas agama lain.

Kepada penulis tetap satu laman web yang popular, Islam Online, Lamaan Ball yang mempunyai ruangan yang beliau kendalikan, iaitu Investigative Islam beliau memiliki catatan 'memeluk' Islam yang begitu unik walaupun dilahirkan sebagai penganut Islam.

"Ibu bapa saya memeluk Islam tidak lama sebelum saya dilahirkan ke dunia yang menyaksikan secara automatik saya juga adalah Islam.

"Namun oleh kerana saya tidak dibesarkan secara Islam sepenuhnya, berani saya katakan ketika itu, saya tidak dapat menerima Islam sehinggalah saya berjanji untuk mencari kebenaran mengenai Islam sendiri pada suatu hari nanti," katanya.

Begitupun beliau tetap melaksanakan perintah wajib dan ibadat termasuk berpuasa di bulan Ramadan semata-mata kerana mengikut seperti apa yang dilakukan oleh orang tuanya.

"Sehinggalah selepas bapa saya meninggal dunia ketika saya berusia lima tahun, ibu saya sendiri tidak kisah jika saya tidak mahu mendirikan solat.

"Ini membuatkan saya menunggu sehingga cukup dewasa bagi saya menentukan sendiri apa juga termasuk, agama apa yang selayaknya untuk saya anuti," katanya.

Pada usianya 16 tahun, si ibu berkahwin lagi dengan lelaki warga Mesir dan Ball sendiri tinggal bersama mereka di London selama dua tahun.

"Ketika itu saya mula merasakan sudah tiba masanya untuk mengenal pasti identiti saya sendiri, terutama sekali mengapa saya hidup di muka bumi ini," katanya.

Sebagaimana surah al-Alaq, ayat pertama yang diperturunkan kepada Rasulullah SAW, dengan perintah suruhan supaya umat Islam membaca, tanpa banyak masalah, Ball sendiri memulakan pencarian dengan membaca tanpa lelah dan jemu.

Namun buku-buku falsafah peninggalan bapanya, menjadi tarikan utama kepada remaja ini untuk beliau mencari jawapan kepada pelbagai persoalan hidup terutama kepercayaan terhadap Tuhan serta keberadaan Yang Maha Kuasa itu.

Maka beliau lebih terarah untuk mengenali prinsip-prinsip yang logik sahaja dengan hanya berpaksikan kepada akal semata-mata.

"Namun pendekatan saya agak berbeza, saya hanya membaca dan membaca sehingga di satu peringkat saya tidak menerima apa yang cuba disarankan oleh buku-buku itu. Ini menyebabkan banyak buku terbengkalai dan saya tinggalkan begitu sahaja tanpa perlu membacanya sehingga tamat.

"Saya masih teringat sebuah buku yang bertajuk Teach Yourself Philosophy yang di peringkat permulaannya buku itu menyebut seseorang yang mempelajari falsafah, tidak bermakna dia akhirnya akan menemui jawapan yang dicari.

"Cuma melaluinya kita mungkin akan lebih teruja untuk meneroka pelbagai persoalan. Ketika itu, saya merasakan saranan seperti ini merupakan satu cara yang tidak sihat bagi saya untuk mencari kebenaran," katanya.

Selepas membaca dan bertanya mengenai Islam daripada orang lain, Ball masih tidak berpuas hati kerana tidak menemui sebarang jawapan yang benar-benar menjawab kepada persoalan yang sarat bersarang dalam fikirannya selama ini.

Menginjak usia 21 tahun, benar-benar menjadi usia yang paling produktif untuk pembudayaan ilmu apabila Ball melanjutkan pelajarannya ke Universiti Manchester di bidang falsafah.

Namun Ball seolah-olah kehilangan arah dan motivasi dalam hidup. Ini apabila segala penilaian mengenai kehidupan yang diketahui oleh anak muda ini sukar diterjemahkan kepada perbuatan.

"Hidup ini sebenarnya mudah, lalu mengapa mesti diberatkan dengan pelbagai persoalan. Semudah kita mengikut saja pegangan orang ramai selama ini," katanya.

Namun kata hatinya, tidak begitu. Sekali terjebak sampai bila pun Ball tidak dapat mengelak daripada dihurung persoalan bagaimana hidup ini dapat diteruskan sama ada dengan kepercayaan bertuhan atau pun tidak.

Sehinggalah pada suatu hari Ball bermimpi yang pada takdirnya merupakan satu hidayah daripada Allah SWT diberikan kepada anak muda ini bagi mendapatkan jawapan yang selama ini begitu menghantuinya.

"Mimpi tersebut mungkin agak kompleks dan sukar untuk dimengertikan. Di dalam mimpi itu, saya duduk bersama-sama sekumpulan manusia di atas sebuah benteng atau tembok panjang yang memisahkan antara jaluran landasan di kiri kanan tembok tersebut.

"Masing-masing kemudiannya berbalah pendapat sama ada jaluran ini benar-benar satu landasan dan keretapi akan melalui landasan ini. Sehinggalah seorang daripada kami begitu yakin bahawa jaluran ini bukannya satu landasan keretapi dan tidak akan ada sebarang kenderaan akan melalui jaluran itu," katanya.

Ini membuatkan lelaki itu duduk di tengah-tengah landasan tersebut. Namun tidak disangka-sangka sebuah keretapi yang besar dengan lajunya melalui landasan itu, dan dalam tempoh beberapa saat keretapi itu kemudiannya terus hilang daripada pandangan. Begitu juga dengan lelaki duduk di tengah-tengah landasan tadi turun hilang dibawa keretapi yang datangnya dengan begitu laju menderu.

"Saya begitu terkejut dan terus tercari-cari lelaki yang sebentar tadi begitu yakin dengan pendapatnya terutama tidak akan ada sebarang keretapi yang akan melalui landasan itu," katanya.

Lalu Ball bertanya kepada sekumpulan lelaki itu sama ada mereka sendiri ada melihat kejadian yang berlaku sebentar tadi.

"Mungkin ada (keretapi yang melalui landasan) tetapi kini kami sudah tidak melihat apa-apa, jadi kami tidak berapa pasti sama ada trek ini benar-benar landasan keretapi dan sebarang keretapi akan melaluinya," kata salah seorang daripada ahli kumpulan lelaki itu dengan jawapan yang begitu mengelirukan.

Apabila ditanya mengenai lelaki yang duduk di tengah landasan itu, mereka pula menjawab; "Kami tidak nampak dia. Jadi macam mana kami tahu dia duduk di situ dan buktikanlah bahawa dia memang duduk di landasan itu".

Mereka kemudian terus berbalah sesama sendiri. Ball kecewa apabila terbukti mereka cuba menafikan hakikat kerana bagi sesetengah falsafah walaupun telah dibentangkan fakta di hadapan mereka namun tidak selalunya dapat diterima oleh mata kepala mereka setiap masa.

"Mimpi itu membuatkan saya menyedari betapa sia-sianya perbincangan di kalangan ahli-ahli falsafah. Saya sedar kini ketentuan itu datang daripada satu peristiwa tanpa perlu diulang banyak kali bagi menentukan kesahihannya," katanya.

Ini memberikan penjelasan yang kuat kepada Ball bahawa seseorang yang percaya kepada kewujudan Tuhan tidak akan boleh membuatkan orang lain turut percaya, apa lagi dengan ketiadaan sebarang bukti.

"Namun Tuhan tidak dapat dilihat tetapi mempunyai bukti yang sangat kuat mengenai kewujudan-Nya kepada mereka yang percaya dengan apa yang dilihat dan apa yang didengar," kata Ball.

Hasilnya, Ball benar-benar sedar dan buat pertama kalinya dalam seumur hidupnya, beliau mendirikan solat dan berdoa: "Tuhan, jika kau wujud maka bantulah aku!".

Ball menyedari sepenuhnya sebagai manusia, kita tidak boleh hidup tanpa sebarang hala tuju yang pasti mahupun hanya sekadar duduk di atas pagar, tanpa sebarang pendirian yang jelas.

"Maka di suatu petang, saya percaya sepenuhnya terhadap kewujudan Tuhan walaupun pelbagai agama turut mengesahkan kehadiran Tuhan mereka, namun Islam mempunyai kepercayaan bertuhan yang lebih diterima akal berbanding yang menjadi kepercayaan oleh agama-agama lain.

"Saya terus menulis sijil kepercayaan saya terhadap Islam dan kalimah syahadah yang diakhiri dengan tanda tangan bahawa saya kini merupakan penganut Islam," katanya.

Mungkin kedengaran agak pelik apabila seseorang yang dilahirkan Islam akhirnya mengucap kalimah syahadah sebagai tanda dia 'baru' memeluk Islam. Tetapi mengapa tidak? Ini kerana ramai yang menjadikan lahir sebagai Islam sudah memadai dan muktamad berbanding pelbagai usaha dan urusan untuk mengenali, mencari dan mengkaji Islam itu sendiri.

Maka kitab al-Quran kepada Ball berbeza keadaannya berbanding buku-buku yang beliau baca sebelum ini.

"Sehingga di akhir kalam al-Quran saya tidak menemukan yang salah yang menyebabkan saya mengkajinya sehingga tamat. Semakin saya baca, semakin menyakinkan kepercayaan saya terhadap Allah kerana tidak ada sesuatu pun di dalam kitab itu meragukan, walau dari sepatah perkataan atau sebaris ayat pun," katanya.

Namun sebagai manusia, tidak ada sesiapa yang terlepas daripada membuat kesilapan, begitu juga yang terjadi kepada Ball.

Sejak itu, Ball tidak lagi menoleh ke belakang dan sering mengucapkan kesyukuran kerana tidak lagi kerana dilahirkan sebagai Islam tetapi kerana selamanya beliau tetap dengan agamanya, iaitu Islam!
Dipetik dr Utusan malaysia online

BERSAMA HIJRAH DAN SELAMAT TAHUN BARU

Hari ni 3 muharram 1430 bersamaan 1 januari 2009.Pantas masa berlalu kan.Jom la buka lembaran baru. Yang pahit, masin, pedih, luka dan calar sepanjang 2008 simpanlah dalam lipatan kenangan. Jadikan pedoman. Yang manis biarlah ditambah manisnya.Yang bahagia semoga ditambah rencah menjadi agar lebih bewarna-warni. Hidup seindah pelangi.Menceriakan siapa memandang.
Ayuh hijrah!
Selamat tinggal 2008.dada...