Sabtu, 7 Jun 2008

Firaun moden peralat politik dunia Islam

PADA zaman keagungan kesarjanaan Islam, ulama berupaya mengkaji dasar wahyu dan dapat menyesuaikannya dalam bentuk praktik serta realiti zaman. Malangnya, bermula abad ke-4 Hijrah, umat Islam melalui satu zaman kelesuan ilmu dan pemikiran sehinggalah muncul abad ke-7 Hijrah yang mana ia benar-benar menjadi beku dan tidak berkembang.


Ini menyebabkan pengajian fiqh Islam tidak lagi berupaya merungkai persoalan baru dalam kehidupan umat Islam. Keadaan bertambah buruk apabila dunia Islam berada di bawah cengkaman imperialisme dan kolonialisme Barat.


Ketika era penjajahan inilah umat Islam berhadapan bencana besar iaitu berlakunya penjajahan fikiran yang melemahkan asas pemikiran dan perpaduan dunia Islam. Kesannya berlarutan hingga kini.


Ada usaha awal di kalangan ulama dan sarjana Muslim terdahulu untuk memecahkan fenomena kebekuan pemikiran ini. Pada abad ke-5 Hijrah, muncul ulama bernama Ibn Hazm yang menyeru pentingnya ijtihad dan pembaharuan digerakkan. Beliau mengkritik ulama dan imam yang disucikan pengikutnya.


Pada abad ke-7 Hijrah pula muncul imam Hambali yang menentang pembatasan dan penutupan pintu ijtihad sementara di abad ke-8 Hijrah, lahir Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim al-Jauziyyah yang berusaha membawa gerakan pembaharuan dan pemurniaan dengan menyeru pintu ijtihad dibuka kembali.


Saat kerajaan Uthmani menuju zaman kemerosotan akibat kekalahannya dengan Eropah dalam beberapa siri peperangan, ia memperkenalkan idea pembaharuan dikenali sebagai �Tanzimat� (1839-1876).


Namun, program tanzimat bertujuan mengelakkan Turki dikuasai Eropah mengalami kegagalan akibat beberapa kelemahan yang melingkari umat Islam dan pemerintahan Uthmani ketika itu.


Di Mesir, ekspedisi Napolean (Perancis) yang berjaya menguasai Mesir (1798-1801) menyedarkan Kerajaan Mesir untuk melakukan pembaharuan bermula dari pemerintahan Muhammad Ali Pasya dan kemudian diperjuangkan tokoh ulama seperti Al-Tantawi, Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rasyid Rida.


Di Nusantara atau alam Melayu, khususnya di Indonesia dan Malaysia juga tidak kurang hebatnya dengan gerakan pembaharuan yang dikenali sebagai gerakan islah dan tajdid. Di Indonesia dan Malaysia gerakan itu melahirkan polemik pemikiran antara kaum muda dan kaum tua di samping munculnya golongan modernis dan sekularis yang lebih bersikap liberal dalam pemikiran Islam.


Walaupun pelbagai usaha pembaharuan pemikiran Islam dilakukan melalui pendekatan bersifat tradisional, konservatif, reformatif, modenis, neo-modernisme hinggalah kepada gerakan radikal dan intelektual, namun sehingga kini dunia Islam masih dibelenggu masalah dan krisis pemikiran.


Sungguhpun ada kejayaan dalam usaha tajdid dan islah, namun kejayaan itu tidak bersifat menyeluruh dalam bentuk yang mampu menyatukan dunia Islam secara kukuh dan terarah.


Kejayaan dicapai lebih bersifat setempat yang bergantung kepada pengaruh tokoh.


Selain itu, konflik sering berlaku antara golongan tradisional-konservatif dengan golongan reformis-modernis dan juga mereka yang dianggap berfahaman sekular dan liberal.


Realitinya, umat Islam masih berpecah kepada pelbagai aliran pemikiran, bukan saja dalam persoalan mazhab tetapi juga berbagai anutan ideologi Barat.


Antara punca berlakunya kelesuan pemikiran Islam ialah lahirnya sikap serta amalan taklid dan fanatik terhadap mazhab sehingga wujud kelompok yang berasa puas dengan warisan pemikiran dihasilkan ulama tertentu sedangkan kebanyakan ulama muktabar tidak pernah menyarankan supaya pemikiran, pendapat dan fatwa mereka dipegang, diamal sepenuhnya dan sepanjang zaman.


Justeru, apabila bangkit di kalangan segelintir sarjana dan ulama Islam yang cuba memecahkan persoalan mengenai fanatisme dan taklid maka akan bangkit golongan yang menentangnya sama ada kalangan golongan fanatik mazhab atau sekularis dan liberal yang terpengaruh dengan idea barat.


Akibat tidak ada kesatuan pemikiran menyebabkan dunia Islam dengan mudah menjadi pengikut setia kepada ideologi dan pemikiran Barat terutama dalam bidang ekonomi dan politik.


Justeru, tidak hairanlah sistem ekonomi Barat yang menghalalkan riba, mengutamakan barang kemewahan, keuntungan dan keseronokan mempengaruhi kehidupan umat Islam.


Natijahnya, kehidupan materialistik menjadi sebahagian penyakit umat Islam hari ini. Sifat ekonomi Barat yang mementingkan kemewahan dan kenikmatan duniawi memusnahkan jati diri serta matlamat manusia untuk beribadah kepada Allah.


Sepatutnya umat Islam berperangai dan bersikap seperti firman Allah yang bermaksud: �Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia.� (Surah al-Qasas, ayat 77)


Umat Islam juga terperangkap dalam kemusyrikan politik. Ini realiti yang harus diakui. Politik dunia Islam hari ini adalah politik pecah-belah sesama sendiri sehingga tidak wujudnya kesatuan ummah.


Politik umat Islam sudah kehilangan arah kerana ia tidak bertujuan menyembah Allah. Arah kiblat politik majoriti negara Islam adalah mengabdikan diri kepada kuasa unipolar Amerika Syarikat.


Amerika Syarikat sudah menjadi susuk Firaun moden yang mengajak dan memaksa kebanyakan negara Islam tunduk dan patuh kepada kehendak dan kekuasaannya. Firaun moden ini jugalah yang berjaya memperalatkan organisasi antarabangsa.


Walaupun hampir 20 peratus (kira-kira 1.9 bilion) keseluruhan penduduk dunia adalah beragama Islam dan mereka berada di 52 buah negara, di samping bertebaran dalam jumlah besar di beberapa negara seperti China, India, sekitar Balkan, Selatan Thailand dan Selatan Filipina, juga bertebaran di Russia, benua Eropah dan Amerika Syarikat, tetapi umat Islam tidak berupaya berhadapan dengan ancaman dan serangan musuh Islam.


Oleh kerana politik umat Islam lemah, tidak bersatu dan berpecah-belah, maka bilangan yang ramai ini tidak mampu berhadapan dengan musuh. Paling malang ialah apabila kebanyakan negara umat Islam berpaut dan bergantung kepada kuasa Firaun ini.


Bagi mereka Amerika adalah pemberi rezeki (ekonomi) dan pemberi keselamatan (pelindung). Perang Israel-Palestin, Perang Teluk Pertama dan Perang Teluk Kedua (Perang Iraq-Amerika) adalah bukti nyata dalam hal ini.


Dalam keadaan begini, politik umat Islam seolah-olah sudah lari daripada apa yang sepatutnya dikehendaki Allah dalam firman yang bermaksud: �Katakanlah: Wahai Muhammad. Patutkah aku mengambil penolong selain Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan Ia pula yang memberi makan dan bukan Ia yang diberi makan. Katakanlah sesungguhnya aku diperintahkan supaya menjadi orang yang pertama sekali menyerah diri kepada Allah. Dan aku diperintahkan: Jangan sekali-kali engkau jadi daripada golongan orang musyrik itu.� (Surah al-An�aam, ayat 14)

Di petik dari Berita Harian Online
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Penulis adalah Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan