Rabu, 10 Oktober 2007

AJAIB SUNGGUH....

Misi angkasawan hasil Islam Hadhari
Dr Mohd Radzi Abdul Latif

ROSKOSMOS, sebuah Agensi Aeroangkasa Persekutuan Russia kini telah mentauliahkan Dr Sheik Muszaphar Sheikh Mustapha dan Kapten Dr Faiz Khaleed dengan rasminya sebagaicosmonaut atau angkasawan. Dengan itu terciptalah satu lagi sejarah pencapaian ulung rakyat Malaysia.

Sejarah adalah salah satu cara membuktikan tamadun sesuatu bangsa. Apa yang akan dilakukan oleh angkasawan negara ini adalah bukti bahawa masyarakat di sesebuah negara mempunyai peranan dalam mencorakkan jenama positif untuk bangsa dan negaranya. Mereka menjadi simbol menggerakkan keupayaan bangsanya memartabatkan negara dan bangsanya untuk mendapat tempat dalam ketamadunan sains dan teknologi di persada global.

Sesuai dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, selayaknya usaha gigih insan Muslim seperti Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz dijadikan asas rujukan untuk mengemudi arus pembinaan modal insan yang berpersonaliti unggul dan menepati ciri-ciri insan glokal.

Selaras dengan aspirasi menzahirkan pencapaian insan unggul agar selari dengan pendekatan Islam Hadhari, ulama juga mengikuti perkembangan semasa dengan menyediakan panduan berpuasa, mencari arah kiblat , beristinjak , berwuduk dan bersolat di angkasa lepas. Jelas kita mahukan pencapaian angkasawan ini bukan saja pada tahap cemerlang, gemilang dan terbilang malah yang lebih penting menerima keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Perkembangan ini menunjukkan betapa penghayatan Islam Hadhari menjadi begitu penting sebagai satu pendekatan pembangunan manusia, masyarakat dan negara yang bersifat menyeluruh serta berdasarkan pada perspektif tamadun Islam. Pendekatan ini penting kerana ia adalah asas anjakan paradigma untuk masyarakat khususnya umat Islam memahami Islam secara menyeluruh, bukannya secara juz'ie atau terpisah-pisah.

Pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha menyediakan masyarakat menikmati kehidupan berkualiti, mempunyai peradaban yang unggul serta bertamadun. Usaha ini hanya berjaya direalisasikan sekiranya tumpuan turut diberi segi pembinaan jati diri dan pemerkasaan pemikiran di kalangan anggota masyarakat.

Sesungguhnya masyarakat yang perkasa dari segi jati diri dan pemikirannya secara tidak langsung memiliki daya tahan, daya saing dan daya maju yang utuh serta berupaya menangani apa juga bentuk cabaran sehingga berjaya ”duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan bangsa-bangsa maju di dunia.

Pendekatan Islam Hadhari bermatlamatkan melahirkan individu dan masyarakat Islam seimbang demi mencapai kekuatan rohani, akhlak terpuji, daya intelektual yang tinggi, gah berdikari dan berdaya saing, berpandangan jauh, berfikiran kreatif dan inovatif serta menangani setiap cabaran dengan penuh hikmah dan berkesan.

Ia bertepatan dengan prinsip pendekatan Islam Hadhari sebagai kerangka rujukan dan tindakan untuk anggota masyarakat khususnya umat Islam di Malaysia berusaha menggerakkan potensi dan keupayaan yang mereka miliki bagi menjadikannya sebuah realiti.

Sepuluh prinsip pendekatan Islam Hadhari ialah keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi; kerajaan adil dan beramanah; rakyat berjiwa merdeka; penguasaan ilmu pengetahuan; pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif; kehidupan berkualiti; pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita; keutuhan budaya dan moral; pemuliharaan alam semula jadi dan kekuatan pertahanan. Personaliti unggul atau Towering Personality adalah gagasan yang diketengahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Penekanan pada pewujudan personaliti unggul ini amat bertepatan dengan usaha ke arah melahirkan modal insan berkualiti. Modal insan berkualiti pula haruslah mempunyai ciri-ciri personaliti unggul yang antara lainnya merujuk pada manusia yang berhemah dan berpengetahuan tinggi di mana pencapaian ketokohannya adalah tinggi natijah dari ketinggian nilai intelektualnya.

Bangsa maju di dunia dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat sejagat. Bangsa atau negara berkenaan mencapai kemajuan yang tinggi kerana memiliki ketinggian segi ilmu, pemikiran dan daya intelektual. Hal ini menunjukkan bahawa fitrah manusia lebih cenderung pada menjadikan ilmu atau daya intelektual sebagai kayu ukur yang melayakkan sesebuah negara atau bangsa itu dihormati dan bukannya berdasarkan pengaruh atau kuasa.

Namun begitu, personaliti unggul yang tidak hanya menjurus pada kekuatan segi ilmu atau daya intelektual semata-mata sebaliknya turut menekankan kepentingan keperibadian serta sahsiah yang tinggi secocok dengan nilai peradaban sesebuah masyarakat bertamadun. Antara ciri individu berpersonaliti unggul ialah:

l Mempunyai iltizam serta wawasan jelas dan tepat bagi menyumbang ke arah mencipta kecemerlangan agama, bangsa dan negara

l Mengutamakan pegangan akidah, moral dan etika dalam kehidupan

l Memiliki jiwa perintis dan cenderung segi penggalian dan penerokaan ilmu yang mempunyai nilai tambah serta memberi manfaat kepada manusia

l Mempunyai daya pemikiran yang kreatif, kritikal, konstruktif dan strategik yang membantu segi penjangkaan dan penyelesaian masalah, membuat keputusan serta bijak segi perancangan

l Mementingkan hasil kerja atau sumbangan yang berkualiti

l Mempunyai daya kepemimpinan yang tinggi, dan

l Memiliki daya tahan, daya saing dan daya maju yang tinggi

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula mengetengahkan gagasan Melayu Glokal sebagai aspirasi bagi menjana umat Melayu yang berakar nasional dan berminda global. Aspirasi ini juga bertujuan merangsang umat Melayu memperkasakan jati diri dengan berperisaikan ajaran Islam dan budaya Melayu, menghargai potensi dan kelebihan yang dimiliki serta yakin dan berani memainkan peranan, bersaing dan mendahului di persada antarabangsa.

Konsep Melayu Glokal juga menyuntik semangat baru di kalangan umat Melayu untuk keluar dari zon selesa dan kepompong pemikiran lama yang merugikan. Gagasan Melayu Glokal diketengahkan supaya umat Melayu berani melakukan perubahan, mendahului perubahan dan bijak mengurus perubahan. Selari dengan semangat ‘glokal’, maka strategi untuk menterjemahkan aspirasi konsep Melayu Glokal turut mempertimbangkan aspek penghayatan agama, ilmu, ekonomi, budaya serta politik dan perjuangan di kalangan umat Melayu.

Kemampuan untuk menguasai aspek-aspek berkenaan dapat menjamin survivalisme umat Melayu di peta dunia. Antara lain strategi membentuk Melayu Glokal ini ialah dengan menjana Melayu Glokal melalui ilmu dan pendidikan, menjana ekonomi untuk pembangunan Melayu Glokal, Melayu Glokal berpaksikan penghayatan agama, memperkuatkan jati diri Melayu Glokal melalui transformasi budaya dan memperkasakan politik Melayu Glokal berteraskan idealisme perjuangan.

Berdasarkan huraian mengenai gagasan pendekatan Islam Hadhari, Personaliti Unggul dan Melayu Glokal, jelas menunjukkan bahawa intipatinya cukup berhubung rapat dengan nilai-nilai yang dianjurkan Islam. Umat Melayu harus memahami bahawa dengan menyuburkan prinsip-prinsip pendekatan Islam Hadhari, memangkinkan pembinaan Personaliti Unggul dan menjana Melayu Glokal memberi ruang kepada mereka untuk memelihara hubungan yang bersifat vertikal iaitu dengan al-Khaliq serta hubungan yang bersifat horizontal iaitu hubungan sesama manusia dan alam persekitaran.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT, bermaksud; "Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk (faedah) manusia, kamu mengajak kepada kebajikan dan kamu mencegah daripada kemungkaran serta kamu beriman kepada Allah....." (Surah 'Ali-'Imraan; 3:110)

Individu yang mampu menterjemahkan nilai-nilai Islam menetapkan standard yang boleh menjadikannya terbaik. Standard itu bukan saja bergantung pada penilaian manusia sebaliknya penilaian yang diberi Allah SWT. Nilai ini adalah satu penetapan standard yang menerbitkan kewaspadaan dalam diri seseorang dan sikap berwaspada boleh membentuk seseorang bukan saja menjadi terbaik tetapi juga terunggul.

Justeru, sudah sampai masanya umat Melayu menanam iltizam untuk lahir sebagai umat terunggul sehingga berjaya diiktiraf sebagai umat mithali di mata dunia.





Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif adalah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM)
P/S
BERITA INI DIPETIK DARI AKHBAR BERITA HARIAN.Nilaila sendiri kenyataan ini samada ada asasnye atau tidak